SIMANGGANG: Rakyat negeri ini termasuk di Sri Aman umumnya mengetahui 31 Ogos adalah tarikh bagi menyambut Hari Kebangsaan, 23 Julai untuk Hari Sarawak dan 16 September untuk Hari Malaysia.
Bagaimanapun di sebalik ingatan terhadap ketiga-tiga tarikh hari itu mungkin ramai penduduk langsung tidak menyedari 21 Oktober juga adalah merupakan tarikh bersejarah yang harus diingati oleh mereka pada setiap tahun.
Ini kerana pada 21 Oktober 1973, Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Ketua Menteri, Tun Abdul Rahman Ya’kub telah pun menandatangani perjanjian damai dengan pihak Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) yang diketuai oleh Bong Kee Chok.
Perjanjian damai ini kemudiannya dikenali sebagai Deklarasi Sri Aman yang menandakan berakhirnya aktiviti pengganas komunis di Sarawak sehingga nama Bandar, Daerah, Bahagian Simanggang ketika itu diubah kepada Sri Aman pada 1974.
“Walaupun 47 tahun sudah berlalu, namun detik ketika bertemu dan menahan Bong Kee Chok terus segar di dalam ingatan sehingga sekarang,” kata seorang pesara polis, Koperal (B) Biong Lebang, 66 tahun.
Sebagai salah seorang individu yang menjadi sebahagian daripada peristiwa Deklarasi Sri Aman, beliau memberitahu detik bertemu dan menahan pemimpin NKCP tersebut telah berlaku pada 18 Oktober 1973 di kawasan Temudok di sini.
Beliau yang ketika itu merupakan seorang anggota Peninjau Sempadan (Border Scout) sedang mengendalikan sekatan jalan raya di Temudok bersama beberapa rakan setugas ketika sebuah kenderaan tiba dan dihentikan di situ.
“Tiba-tiba seorang lelaki dalam kenderaan itu mendakwa bahawa dia adalah Bong Kee Chok dan mahu menyerah diri…kami berdua kemudiannya terus berjabat tangan dengan tangan kiri sebab tangan kanannya luka ketika itu.
“Kami kemudiannya membawa pemimpin NKCP itu ke balai polis di sini sebelum dia dibawa ke kediaman Residen untuk membincangkan proses rundingan damai yang berlangsung selama beberapa hari,” kata Biong.
Katanya lagi rundingan berkenaan telah berjaya membuahkan hasil apabila seramai 500 orang anggota NKCP bersetuju meletakkan senjata dan kembali ke pangkuan ahli keluarga masing-masing.
“Deklarasi Sri Aman antara kerajaan dan NKCP telah menimbulkan kegembiraan buat saya dan rakan-rakan setugas kerana ia secara tidak langsung telah menandakan berakhirnya pemberontakan bersenjata dalam negeri ini.
“Bagaimanapaun peristiwa ini nampaknya sudah mula dilupai oleh anak muda kita. Justeru kita haruslah melakukan sesuatu agar anak muda ini dapat mempelajari peristiwa itu dan mensyukuri keamanan negeri yang dikecapi oleh mereka pada masa sekarang,” kata Biong.
Terdahulu titik mula penyerahan anggota NKCP ini bermula apabila mereka melarikan diri ke Simanggang setelah kedudukan mereka sering diasak oleh pihak askar, pasukan Border Scout serta Polis Hutan ketika itu.
Perang saraf juga turut dilancarkan oleh pihak kerajaan yang bertindak menggugurkan banyak risalah selain menggunakan bot untuk merayu kepada pihak komunis agar menyerah diri.
Usaha berkenaan ternyata membuahkan hasil apabila Bong Kee Chok dan pengikutnya keluar dari hutan pada 18 Oktober 1973 dengan proses rundingan damai bermula pada tarikh itu.
Deklarasi berkenaan telah berlangsung di rumah rehat kerajaan yang dikenali sebagai Rumah Rehat Simanggang ketika itu sebelum namanya diubah semula sebagai Rumah Rehat Sri Aman.
Kini, nama Bandar Sri Aman sudah pun diubah semula kepada Bandar Simanggang atas permintaan penduduk tempatan dan para pemimpin tempatan di sini.
Oleh Valentine Ngumbang