
MUKAH: Tiga lelaki warga tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah di kawasan Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan pertama dijalankan sekitar 7.00 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau.
Menurutnya, dua lelaki berumur 43 dan 45 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan namun pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang barang salah.
“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan hasil ujian urin mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hari ini (19 Mac), suspek berumur 45 tahun telah dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 12(2) akta sama atas kesalahan lampau memiliki dadah di Mahkamah Majistret Mukah, dengan sebutan semula kes pada 8 Jun 2026.
“Seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, dalam serbuan kedua sekitar 10.00 pagi di kawasan kebun kelapa sawit Sungai Sepiring, seorang lelaki berumur 19 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Suspek berjaya ditahan di kawasan belukar berhampiran dan pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat anggaran 1.36 gram dalam beg sandangnya,” jelasnya.
Katanya lagi, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan hasil ujian urin mendapati suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hari ini (19 Mac), suspek yang tidak bekerja itu telah dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Mukah atas kesalahan memiliki dadah dan kes akan disebut semula pada 8 Jun 2026.
Muhamad Rizal menegaskan, IPD Mukah komited dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak polis.
Maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman