

BINTULU: Tradisi pertandingan bertuntung di kampung-kampung sekitar Jepak terus menyemarakkan suasana malam likur apabila ia bukan sahaja menghimpunkan komuniti setempat, malah turut menarik kehadiran pengunjung dari luar kampung.
Bagi Mohd Azid Azmat, penduduk Kampung Masjid di Jepak, penyertaan keluarganya dalam pertandingan itu sejak lima tahun lalu bukan sekadar menghias rumah, tetapi menjadi ruang mengumpulkan orang ramai dalam suasana penuh mesra dan terbuka.
“Bila malam, orang kampung datang ramai-ramai. Dari jauh sudah nampak rumah berhias, mereka singgah, bergambar dan kami memang mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja,” katanya.
Menurutnya, tradisi tersebut secara tidak langsung menggalakkan interaksi sosial apabila penduduk tanpa mengira latar belakang saling berkunjung dan bertegur sapa.
Lebih menarik, suasana itu turut menarik orang luar untuk datang merasai kemeriahan, sekali gus menjadikan kampung-kampung di kawasan Jepak sebagai tumpuan setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Bukan orang kampung ini sahaja, dari kampung seberang pun ada yang datang dan turut bertanding. Jadi suasana itu memang hidup,” ujarnya.
Setiap penyertaan pula menampilkan kreativiti tersendiri dengan tema berbeza saban tahun, termasuk konsep padang pasir lengkap dengan hiasan seperti unta dan bukit pasir yang menjadi tarikan pengunjung.
Pendekatan kreatif itu bukan sahaja mencantikkan persekitaran kampung, malah menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Tinjauan Utusan Sarawak pada waktu malam mendapati kawasan kampung di Jepak diterangi cahaya lampu hiasan berwarna-warni dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus singgah, sekali gus membuktikan tradisi bertuntung kekal relevan sebagai nadi kemeriahan komuniti.
Oleh Carolyne Utih