
SEORANG warga emas duduk termenung di anjung rumahnya di sebuah kampung, melihat telatah cucunya asyik melekat melihat skrin telefon. Cucu belasan tahun, kalau dahulu kala, sudah bersiap sedia meminta dibeli bunga api, baju baharu dan pelbagai kelengkapan lain apabila Ramadan sudah di penghujung.
Ini sebagai persiapan menjelang 1 Syawal, kerana pada hari itu nanti, dia bersama rakan sebaya akan berlari bermain bunga api sekeliling rumah pada malam raya dengan pakaian serba baharu.
Mungkin dalam fikiran warga emas ini terlintas ketika sambutan Aidilfitri dahulu kala, kanak-kanak riang bergembira, suri rumah sibuk di dapor, ziarah raya dari rumah ke rumah dan dentuman meriam buluh menambahkan kemeriahan.
Keriuhan itu akan muncul tiba-tiba sebaik pengumuman tarikh Hari Raya terpancar di kaca televisyen.
Namun, pada zaman sekarang ini, sambutan Aidilfitri banyak dipengaruhi oleh gajet terutama di media sosial termasuk gaya hidup, fesyen pakaian dan perhiasan rumah sekalipun.
Wajib bagi saudara mara dan rakan taulan bergambar masa raya, menunjukkan fesyen terkini dan diposkan di media sosial.
Satu lagi hakikat ialah Gen Z kini lebih cenderung berkongsi pengalaman mereka dalam bentuk Instagram Stories, TikTok, dan vlog YouTube.
Generasi Z adalah golongan yang lahir antara 1997 hingga 2012, membesar dengan internet, smartphone, media sosial seperti TikTok & Instagram.
Sekarang ini ramai pelajar sekolah, universiti dan pekerja muda termasuk dalam Gen Z. Contoh perbandingan generasi: Baby Boomers (lahir 1946-1964); Gen X (1965-1980), Gen Y (1981-1996), Gen Z (1997-2012) dan Gen Alpha (2013 ke atas).
Platform media sosial bukan sahaja menjadi ruang penceritaan visual tetapi, juga alat pembentukan identiti tradisi. Ini bagaikan satu kemestian terutama bagi mencari ‘followers’ yang ramai.
Golongan ini mendokumentasikan sambutan Hari Raya melalui filter menarik, cabaran video, dan trend digital, menjadikan perayaan lebih interaktif.
Budaya ini dikatakan lebih interaktif, menyediakan arkib kenangan yang lebih kekal lama dan boleh diulang tonton berkali-kali.

ERA DIGITAL
Hal ini juga memberi kesan bagaimana generasi Z menanggapi sambutan Hari Raya. Ditambah lagi dengan perkembangan era digital baik dalam bentuk pekakasan, aplikasi dan sebagainya. Bagi Gen Z, cara menyimpan dan mengenang memori Hari Raya telah berubah seiring dengan perkembangan digital.
Namun hakikatnya, perubahan ini berlaku kerana beberapa faktor sosial dan gaya hidup.
Perubahan gaya hidup dan urbanisasi
Dulu, kebanyakan keluarga tinggal berdekatan atau di kampung. Bila tiba Hari Raya, hampir semua orang berkumpul — rumah terbuka besar-besaran, ziarah dari pagi sampai malam.
Sekarang ramai berhijrah ke bandar, kerja ikut jadual ketat, cuti pendek — jadi masa berkumpul semakin terhad.
Teknologi menggantikan interaksi fizikal
Dahulu ucapan raya dibuat secara bersemuka atau kad raya. Sekarang cukup dengan WhatsApp, TikTok atau panggilan video. Mudah tetapi ‘feel’ kemeriahan berjumpa secara fizikal sudah berkurangan.

Raya jadi lebih komersial
Persiapan raya kini banyak tertumpu kepada shopping, fesyen, dekorasi dan media sosial. Dulu tumpuan lebih kepada gotong-royong, memasak kuih bersama, dan aktiviti komuniti.
Struktur keluarga berubah
Keluarga besar dahulu tinggal sebumbung atau berdekatan. Sekarang keluarga lebih mengecil. Maka suasana riuh rendah — sepupu ramai, tidur berhimpit, main mercun — makin jarang dirasai.
Nilai tradisi semakin kurang (di sesetengah tempat)
Aktiviti seperti takbir keliling kampung, main bunga api beramai-ramai, marhaban atau rumah terbuka kampung secara besar-besaran sudah tidak sekerap dulu.
Namun, ia bukan bermakna Raya sekarang tidak meriah langsung.
Kemeriahan itu sebenarnya berubah bentuk — contohnya:
• Rumah Terbuka moden
• Balik kampung tetap jadi tradisi penting
• Raya jadi lebih selesa dan tersusun
• Media sosial bantu kekalkan hubungan jauh
Hakikatnya, ‘hebat atau tidak raya’ banyak bergantung pada usaha keluarga dan komuniti sendiri.
Kalau masih amalkan ziarah, berkumpul, masak bersama — suasana lama boleh dihidupkan semula.
Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak