Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Aidilfitri bukan ‘Pesta Makan’, bersederhanalah demi kesihatan – Pakar Pemakanan
  • NASIONAL

Aidilfitri bukan ‘Pesta Makan’, bersederhanalah demi kesihatan – Pakar Pemakanan

Utusan Sarawak 4 hours ago
GAMBAR hiasan

KUALA LUMPUR: Ketupat, lemang, rendang dan pelbagai kuih muih tradisional sememangnya juadah yang sentiasa dinanti-nantikan setiap kali menjelang Hari Raya, namun, masyarakat dinasihati agar menikmatinya secara sederhana bagi mengelakkan risiko terhadap kesihatan.

Pakar pemakanan dari Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Norhasmah Sulaiman berkata perubahan corak makan selepas sebulan berpuasa sering menjadi cabaran utama untuk mengekalkan pemakanan sihat semasa perayaan.

“Kebiasaannya, pemakanan semasa Ramadan lebih terkawal daripada segi masa dan kuantiti. Tetapi ketika Aidilfitri, masyarakat terdedah kepada hidangan tinggi tenaga, lemak tepu, gula dan garam seperti lemang, ketupat, rendang serta pelbagai kuih tradisional.

“Cabaran utama ialah kecenderungan mengambil makanan berulang kali sepanjang hari, terutamanya ketika kunjung-mengunjung dan rumah terbuka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, corak makan yang tidak teratur dan pengambilan kalori berlebihan boleh mengganggu keseimbangan pemakanan harian dan akhirnya disimpan sebagai lemak dalam badan.

Fenomena itu menjadi lebih signifikan apabila data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati sebanyak 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia kini dikategorikan sebagai berlebihan berat badan atau obes.

Norhasmah berkata hidangan tradisional perayaan biasanya mempunyai ketumpatan tenaga yang tinggi kerana penggunaan santan, gula dan minyak, manakala tahap aktiviti fizikal pula cenderung menurun.

“Gabungan faktor-faktor ini mewujudkan keadaan yang dikenali sebagai kesimbangan tenaga positif yang mana pengambilan tenaga melebihi penggunaan, yang boleh meningkatkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes mellitus, penyakit kardiovaskular dan hipertensi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat tidaklah perlu sampai menghapuskan juadah tradisional daripada menu perayaan kerana ia sebahagian daripada identiti budaya dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan sosial.

Sebaliknya, beliau mencadangkan pendekatan praktikal seperti mengambil saiz hidangan kecil, mengimbangi makanan berlemak dengan sayur dan buah, serta kembali kepada pola pemakanan seimbang berasaskan konsep Pinggan Sihat Malaysia (suku suku separuh) jika terlebih makan pada awal perayaan.

Sementara itu, Profesor Pemakanan daripada Fakulti Sains Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ruzita Abd Talib berkata pengambilan kalori semasa Aidilfitri boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda disebabkan sarapan berat, rumah terbuka berturut-turut dan snek berterusan.

“Budaya ‘tuan rumah mesti jamu, tetamu mesti rasa’ juga menyebabkan pengambilan kalori mudah berlebihan tanpa sedar. Lebihan kalori yang konsisten walaupun tiga hingga lima hari boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan, terutama jika aktiviti fizikal rendah (tidak bersenam),” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat mengamalkan prinsip kesederhanaan mengikut Garis Panduan Pemakanan Malaysia.

“Ambil portion (saiz hidangan) kecil, bukan elak terus. Imbangi pinggan: separuh sayur dan buah, suku protein, suku karbohidrat,” katanya.

Pendekatan mudah yang boleh diamalkan semasa rumah terbuka termasuk tidak datang dalam keadaan terlalu lapar, gunakan konsep ‘rasa, bukan habiskan’, mengehadkan kuih raya kepada satu atau dua jenis serta minum air kosong sebelum dan selepas makan.

“Aidilfitri seharusnya menjadi masa meraikan kemenangan dan mengeratkan silaturahim, bukan pertandingan siapa makan paling banyak. Nikmati makanan tradisional dengan kesyukuran tetapi secara sederhana. Raya hanya beberapa hari, tetapi kesannya terhadap kesihatan boleh berpanjangan jika tidak berhati-hati,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Larangan pemanduan kenderaan barangan serta logistik pada 19, 20, 28 dan 29 Mac
Next: Petugas JUPEM hilang di Limbang: Bantuan menyeluruh kepada keluarga sepanjang operasi mencari, menyelamat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.