

MIRI: Api marak memusnahkan 10 rumah penempatan sementara dalam kebakaran di Kampung Pasir, Simpang 4 Lutong di sini, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Lutong Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 4.06 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bergegas ke lokasi.
Katanya, kebakaran melibatkan sembilan rumah tidak kekal berukuran sekitar 30 x 100 kaki persegi setiap satu.
“Daripada jumlah itu, sembilan rumah berpenghuni manakala sebuah lagi tidak berpenghuni. Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya yang turut hadir di lokasi kejadian.
Henry berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 4.53 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.45 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Beliau berkata, operasi turut berdepan cabaran berikutan keadaan kawasan yang padat sehingga menyukarkan pergerakan jentera, selain sumber air yang terletak jauh dan hanya terdapat di laluan utama jalan raya.
Operasi itu turut melibatkan pasukan bantuan dari BBP Lopeng dan BBP Miri Sentral.
Setakat ini,punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Sementara itu, Menurut salah seorang mangsa, Albert Banjang,47, kejadian berlaku ketika beliau sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising.
“Saya masih tidur ketika itu sebelum terjaga selepas terdengar bunyi bising. Bila keluar, saya lihat api sudah marak.
“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting kerana api terlalu marak dan merebak dengan pantas,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di lokasi kejadian.
Oleh Liong Chai Ling