BANDAR GAZA: Pesawat perang Israel melakukan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan penentang Palestin Hamas di Semenanjung Gaza pada Selasa, menurut tentera Israel, lapor Agensi Anadolu.
Serangan udara itu mengenai terowong yang didakwa milik Hamas, ciap jurucakap tentera Israel Avichay Adraee di Twitter.
Serangan itu dilakukan sebagai membalas tembakan roket dari Gaza, tambah Adraee.
Menurut saksi, tanah pertanian di sebelah timur kota Deir al-Balah di tengah Gaza disasarkan dengan sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu.
Tiada maklumat korban dilaporkan setakat ini.
Tentera Israel sering melakukan serangan udara di kawasan sempadan sebagai tindak balas ke atas serangan yang didakwa mereka dilancarkan dari Gaza.
Sementara itu, di Khartom Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Fatou Bensouda pada Selasa berkata mahkamah akan menghantar lebih ramai penyiasat ke Sudan untuk menyiasat mengenai kekejaman di wilayah Darfur semasa pemerintahan bekas presiden Omar Al-Bashir.
Bercakap pada sidang media di Khartoum, Bensouda berkata pihak berkuasa Sudan sudah menyatakan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan ICC, lapor Agensi Anadolu.
Katanya, delegasi ICC telah berada di Khartoum sejak Sabtu dan akan berada di sana sehingga Selasa, membincangkan kemungkinan untuk menghadapkan Bashir di sebuah mahkamah hibrid yang diwujudkan antara Sudan dan ICC.
Al-Bashir dan dua pegawai kanan Sudan lain dikehendaki oleh ICC kerana tuduhan melakukan jenayah perang terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di wilayah Darfur.
Bekas presiden yang memerintah Sudan sejak 1989, digulingkan tentera pada April 2019 selepas tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahannya tercetus.
Pada Disember, beliau dijatuhi hukuman dua tahun penjara kerana rasuah selain menghadapi tuduhan merosakkan perlembagaan semasa kudeta tentera 1989 yang dipimpinnya.
Pada Februari, kerajaan peralihan Sudan bersetuju untuk menyerahkan Al-Bashir kepada ICC.-Bernama