Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kesederhanaan Pengucapan dan Kedalaman Makna
  • WBS

Kesederhanaan Pengucapan dan Kedalaman Makna

Utusan Sarawak 8 hours ago

SAJAK sering terbentuk menurut kecenderungan jiwa dan pengalaman penyairnya. Ada penyair yang memilih gaya pengucapan yang sederhana bagi menyampaikan pesanan secara langsung. Tidak kurang pula yang membina lapisan simbol dan metafora yang menuntut tafsiran lebih mendalam daripada para pembaca.

            Kedua-dua pendekatan ini sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri. Sajak bukan sekadar rangkaian kata yang indah. Lebih daripada itu, ia merupakan sebuah pengalaman estetik yang mampu mempengaruhi, menggerakkan hati serta menyentuh kesedaran batin para pembaca.

Sajak turut berfungsi sebagai wadah renungan yang membijaksanakan masyarakat. Kata-kata yang tersusun dengan teliti dalam menyampaikan makna dan menghidupkan rasa, menggugah emosi serta menimbulkan kesedaran baharu terhadap kehidupan. Sebuah sajak yang berhasil biasanya mampu menggetarkan batin para pembaca. Ada waktunya dengan kesederhanaan pengucapan, kadangkala melalui simbol dan imejan dan memerlukan tafsiran yang lebih mendalam.

Dalam konteks persaingan dunia penulisan sajak mutakhir yang semakin sengit, para penyair dituntut untuk menulis dengan jujur terhadap renungan batin. Mereka juga perlu teliti memilih diksi, membina imejan dan mengatur perjalanan makna agar sajak berupaya difahami serta meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa dan fikiran para pembaca. Sajak yang baik bukan sekadar dibaca sekali sahaja kemudian dilupakan. Ia mampu bergema dalam ingatan dan memunculkan kesedaran yang baharu setiap kali direnungi kembali.

Pada zaman ini, para penyair tidak lagi hanya dapat bergantung kepada penghasilan sajak yang terlalu biasa atau klise gaya pengucapan dan pemikirannya. Jika ingin terus bersaing untuk mendapatkan tempat penyiaran di media cetak utama, mereka harus sentiasa memperkaya perbendaharaan kata dan imaginasi.

Inovasi dalam bahasa sajak juga amat penting, sama ada melalui keberanian memilih diksi yang segar, membina metafora yang luar jangka atau memperkenalkan gaya pengucapan yang lebih tersendiri dan unik.

Sajak yang simbolik pula tentu menuntut daya imaginasi yang lebih di samping ketajaman merenung alam dan kejadian. Dalam masa yang sama, sajak yang sederhana juga boleh menjadi sangat berkesan jika penyair berjaya menampilkan bahasa yang jernih tetapi penuh makna. Kekuatan sajak tidak semata-mata terletak pada gaya permainan bahasanya, tetapi juga pada keupayaannya menimbulkan kesan renungan dan kebijaksanaan dalam diri pembaca.

Jika cenderung menulis dengan gaya sederhana dengan kurang lapisan makna, penyair wajar mengukuhkan daya pemilihan dan susunan diksi agar menarik dan berkesan dalam menyampaikan kebijaksanaan. Dalam memilih dan menyusun kata-kata, kemampuan kreativiti, intuisi dan imaginasi penyair amat dituntut. Dengan demikian, bahasa sajak yang biasa dan sederhana akan berubah menjadi penuh imaginatif dan luar biasa.

Para penyair juga harus merenung secara mendalam terhadap persoalan-persoalan yang ingin diketengahkan di dalam sajak. Hal ini akan menyebabkan sesebuah sajak berbeza daripada sajak-sajak yang lain. Kesan makna sajak akan menjadi lebih tajam dan mendalam serta bukan sekadar berada di alam permukaan. Ia mampu meresap sampai ke jalur pemikiran dan menggugah alur perasaan khalayak pembaca. Di sinilah letaknya keistimewaan sajak, selain daripada mampu membentangkan pengalaman penyair, ia juga berupaya membuka ruang kesedaran kepada para pembaca untuk melihat kehidupan dengan pandangan yang lebih bijaksana.

Setiap penyajak akan berusaha untuk menghasilkan sajak dengan sebaik mungkin mengikut kecenderungan serta tahap kemampuan serta kematangan masing-masing. Begitulah juga dengan tiga orang penyajak muda, iaitu Wan Roslina Wan Yusof, Idawatti Zaidil dan Abdullah Al-Qayyum yang sajak mereka akan dibicarakan dalam tulisan ini.

Sajak “Hujung Hidup” karya Wan Roslina Wan Yusof membawakan renungan tentang kesedaran manusia terhadap kematian dan perjalanan menuju Ilahi. Kepentingan mengingati mati dan persediaan untuk menghadapinya dinyatakan dengan nada peringatan yang lembut:

bersediakah kita
            pada hujung hidup ini
            atau masih leka memburu impian
            dalam irama kehidupan
            ada lirik yang menipu
            lagu yang membelenggu

jiwa yang mengingati
            akan berhati-hati
            menelusuri hari dengan teliti
            hujung hidup itu pasti
            walau dalam teka-teki
            ia rahsia suci
            permulaan kepada yang abadi
            perjalanan menemui Ilahi.

            Keberkesanan sajak ini terletak pada pesanan yang jelas dan mudah difahami, terutama melalui baris-baris berikut:

hujung hidup itu pasti
            walau dalam teka-teki
            Ia rahsia suci
            permulaan kepada yang abadi

            Baris-baris ini memberikan peringatan kepada para pembaca bahawa kematian pasti akan tiba dan kehidupan selepasnya merupakan suatu hakikat yang tidak dapat dielakkan. Penggunaan kata seperti “rahsia suci” dan “perjalanan menemui Ilahi” menambah unsur kerohanian yang menjadi teras kepada sajak ini. Dari segi kesan pembacaan, sajak ini berupaya menimbulkan rasa muhasabah dalam diri pembaca, mengingatkan manusia agar tidak terlalu hanyut dalam kesibukan duniawi.

Walau bagaimanapun, sajak ini masih cenderung kepada pengucapan yang agak langsung dan bersifat didaktik. Imejan yang digunakan tidak terlalu berkembang dan lebih berbentuk pernyataan. Misalnya, ungkapan “irama kehidupan”, “lirik yang menipu” dan “lagu yang membelenggu” begitu menarik, tetapi tidak diperluas secara imaginatif untuk membina gambaran yang lebih segar dan mendalam. Dengan sedikit pengembangan imejan atau simbol yang lebih tajam, sajak ini berpotensi untuk lebih kuat meninggalkan kesan dalam kalbu para pembaca. Perkara ini juga akan memberikan dimensi tafsiran yang lebih luas.

Sajak “Teduh Ramadan di Relung Jiwa” tulisan Idawatti Zaidil pula mengungkapkan tentang bulan Ramadan yang semakin hampir ke penghujungnya namun berat hati untuk dilepaskan pergi:

Ramadan menurunkan tirainya perlahan;
            namun jiwaku masih ingin berlama…
            di teduh rahmat-Mu.

Pelita wahyu menyinari malam,
            ayat-ayat suci menuntun langkah yang rapuh;
            aku menadah cahaya-Mu,
            mengutip serpihan berkah di halaman hari.

Andai ini Ramadan terakhir yang kutemui,
            biarlah jejak rahmat-Mu terukir di relung hati,
            mengalir bersama doa dan syukur,
            menjadi pelita abadi
            yang menyinari setiap langkah hidupku.

Alhamdulillah…
            atas nikmat waktu yang Engkau anugerahkan;
            masih diizinkan jiwa ini
            menyusuri teduhnya Ramadan.

            Kelembutan bahasa penyair berupaya menghadirkan suasana Ramadan yang tenang melalui diksi seperti “pelita wahyu menyinari malam”, “ayat-ayat suci menuntun langkah yang rapuh” dan “menyusuri teduhnya Ramadan”. Metafora “pelita wahyu” dan “serpihan berkah di halaman hari” memberikan kesan puitis yang indah serta menggambarkan hubungan manusia dengan Tuhan dalam bulan Ramadan.

Sajak ini memaparkan keikhlasan renungan penyair serta rasa syukur yang tulus. Dari sudut kesan pembacaan, sajak ini mampu menimbulkan suasana spiritual yang damai serta mengajak pembaca merasai keindahan Ramadan sebagai waktu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Walau bagaimanapun, dapat dikesan penggunaan beberapa ungkapan yang agak lazim dalam sajak bertemakan keagamaan, seperti “jejak rahmat”, “pelita abadi” dan “relung hati”. Ungkapan-ungkapan ini memang indah, tetapi sering digunakan sehingga kesegaran sedikit berkurangan. Penyajak perlu lebih berani mencipta metafora yang lebih baharu atau imejan yang lebih luar jangka. Dengan inovasi bahasa yang lebih segar, sajak seperti ini akan mampu menyentuh rasa kerohanian serta dapat memperkaya estetika  dengan gaya pengucapan yang lebih unik dan berkesan.

Sajak “Peti Cahaya” oleh Abdullah Al-Qayyum pula membicarakan tentang lensa kamera yang berperanan menangkap dan mengabadikan momen sebagai sebuah kenangan dalam bentuk gambar:

Lensa,
            membidik dunia seperti penjaga sunyi,
            mengambil secebis masa
            agar tidak hilang ditelan waktu.

Lensa,
            menangkap cahaya yang berlari di atas wajah
            mengikat kenangan pada sehelai kertas
            seolah-olah waktu boleh disentuh dengan jari.

Lensa,
            bukan sekadar alat
            dia penyair dalam diam
            bercerita melalui bayang dan warna

            Penyajak ini menampilkan pendekatan yang sedikit berbeza daripada dua orang penyajak sebelumnya dengan memusatkan perhatian kepada objek moden iaitu kamera sebagai simbol penyimpan kenangan. Kekuatan utama sajak ini ialah penggunaan imej dan simbol yang konsisten, terutama melalui pengulangan kata “lensa” pada awal rangkap.

Baris-baris seperti “mengambil secebis masa/agar tidak hilang ditelan waktu” dan “seolah-olah waktu boleh disentuh dengan jari” menunjukkan imaginasi yang menarik tentang fungsi kamera sebagai perakam masa dan pengalaman manusia.

Rangkap akhir merupakan bahagian terbaik sajak ini yang menyatakan bahawa lensa ialah “penyair dalam diam”. Tafsiran simbolik ini sangat menarik kerana menghubungkan seni fotografi dengan seni puisi:

Lensa,
            bukan sekadar alat
            dia penyair dalam diam
            bercerita melalui bayang dan warna

            Ungkapan ini memberikan kesedaran bahawa setiap gambar sebenarnya membawa cerita, emosi dan kenangan yang tersembunyi di sebalik cahaya dan bayang. Walau bagaimanapun, sajak ini masih boleh diperkaya dengan lapisan makna yang lebih mendalam. Idea tentang kamera sebagai penyair sebenarnya sangat menarik, tetapi belum dikembangkan sepenuhnya. Penyair boleh memperluas hubungan antara cahaya, kenangan dan waktu agar simbol peti cahaya menjadi lebih kompleks dan memberi kesan renungan yang lebih mendalam kepada para pembaca.

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga sajak ini memperlihatkan kecenderungan pengucapan yang sederhana dengan tema renungan kerohanian dan kehidupan. Kelebihan mereka terletak pada keikhlasan dalam menyampaikan pesan serta kejelasan makna yang mudah didekati oleh para pembaca. Dalam banyak keadaan, kesederhanaan bahasa seperti ini juga memudahkan sajak menyentuh hati khalayak pembaca secara langsung tanpa terlalu banyak halangan tafsiran.

Walau bagaimanapun, untuk terus bertahan dan maju dalam dunia penulisan sajak, para penyair perlu lebih berani memperkaya imaginasi, mencipta metafora yang lebih segar serta menyusun diksi dengan lebih teliti dan inovatif. Sajak yang baik dan berhasil bukan sahaja menyampaikan makna, tetapi juga menampilkan keindahan bahasa serta kebijaksanaan renungan yang mampu memperkaya pengalaman batin para pembaca.

Sajak yang sederhana dan mudah bukanlah sebuah kelemahan jika ia disusun dengan indah dan diakhiri dengan kebijaksanaan makna. Sebaliknya, sajak yang simbolik atau kompleks akan menjadi lebih memikat jika penyair bijak menyediakan lorong-lorong imaginasi terkawal untuk dapat dijejaki oleh para pembaca dasar maknanya.

Cabaran sebenar bagi penyair masa kini ialah bagaimana untuk mengimbangkan kesederhanaan gaya pengucapan dengan kedalaman renungan, serta menggabungkan inovasi bahasa dengan kejujuran pengalaman batin. Dengan demikian, setiap baris sajak akan memikat ketika dibaca, di samping juga mampu menggerakkan hati, menyentuh kesedaran jiwa dan meninggalkan hikmah yang lama berlegar dalam ingatan para pembaca.

Zainal Abidin Suhaili (Abizai)

Continue Reading

Previous: Mariam untuk Nur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.