GEDONG: Usahawan kecil dan sederhana di negeri ini yang belum memiliki lesen perniagaan digalakkan untuk segera mendaftarkan perniagaan mereka pada Program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, program ini diadakan untuk mengajak peniaga yang berniaga supaya mendaftarkan perniagaan mereka.
Katanya, masih ramai peniaga dan penjaja di luar bandar belum memiliki lesen atau permit berniaga.
“Ini bererti mereka sama ada minat nak berniaga tetapi belum membuat lesen atau permit dari Pejabat Pegawai Daerah atau Majlis Daerah mahupun dengan mana-mana agensi yang lain.
“Objektif kita bukan hendak menyusahkan para usahawan untuk pembayaran cukai, tetapi kerajaan ingin melihat para penjaja dan peniaga kecil di negeri ini walaupun berniaga di rumah atau tepi jalan mereka layak menyewa di gerai atau kedai-kedai di pasar.
“Bukan itu sahaja, mereka juga layak mengikuti program latihan seperti bagaimana nak mengurus peniagaan, bagaimana membuat produk yang lebih baik, Bagaimana mendapatkan sijil halal dan sebagainya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Pejabat Daerah Simunjan di Dewan Masyarakat Gedong, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalik Manap, Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan MINTRED, Awang Yusri Putra dan Penghulu, Abang Ronnie.
Beliau berkata, banyak program hanya didengar oleh para peniaga tetapi tidak dapat memohon atau tidak dapat di nikmati oleh mereka.
“Hal ini adalah kerana mereka tidak layak dan tidak mempunyai sebarang lesen atau permit berniaga.
“Setakat ini Sarawak mempunyai 62,000 perusahaan peniagaan di mana 98.5 peratus adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS).
“Sebagai peniaga kecil dan Sederhana dan mikro kita harus memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan Ekonomi Negara termasuk dalam Negeri Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui MINTRED disokong oleh beberapa Agensi termasuk Pejabat Daerah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengajak para peniaga yang belum berdaftar supaya mendaftar diri atau Peniagaan mereka.
“Mengikut data daripada semua Majlis majlis Kerajaan Tempatan (PBT) sahaja kita ada lebih kurang 44,015 penjaja dan peniaga kecil (kategori mikro) di seluruh Negeri Sarawak dibawah PBT.
“Daripada bilangan ini, seramai 25,663 (58 peratus) didapati masih belum berdaftar, ini bermakna mereka tidak mempunyai Lesen atau Permit walaupun mereka berjual di rumah atau di tepi jalan.
“Oleh kerana tidak mempunyai lesen atau permit mereka ini tidak layak mendapatkan bantuan yang ditawarkan oleh Kerajaan.” Katanya.
Oleh Jeakqleyn Yacho