
SIBU: Kerajaan Sarawak dapat menyalurkan bantuan dengan lebih bersasar dan berkesan kepada rakyat melalui penggunaan SPay Global secara menyeluruh di seluruh negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, berdasarkan rekod, lebih 90 peratus penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tahun ini telah mendaftar dengan platform berkenaan.
“Angka ini terus meningkat setiap hari. Melalui penggunaan SPay Global secara menyeluruh di seluruh Sarawak, kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan lain dengan lebih bersasar dan berkesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayeed Azmee Wan Junaidi pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, SKAS merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang diperkenalkan sejak tahun lalu sebagai langkah intervensi langsung dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, inisiatif itu penting bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat kenaikan harga barangan.
“Tahun ini amat bermakna kerana SKAS memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
“Ia bukan sekadar kesinambungan program, tetapi membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah bersetuju menambah kadar bantuan bagi tahun ini, iaitu kategori isi rumah meningkat daripada RM800 kepada RM950, warga emas daripada RM400 kepada RM500, manakala kategori bujang daripada RM250 kepada RM300.
“Bantuan SKAS ini akan disalurkan dalam tiga peringkat iaitu pada 10 Mac, Mei dan November.
“Saya ingin menegaskan bahawa bantuan ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan matlamat asal pelaksanaannya,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai.
Oleh Akun Giman