
BINTULU: Perantau yang pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri dilihat membawa pelbagai produk tempatan Sarawak sebagai buah tangan untuk keluarga.
Tinjauan Utusan Sarawak di Lapangan Terbang Bintulu hari ini mendapati barangan makanan seperti kek lapis, ikan terubuk dan belacan antara yang menjadi pilihan utama penumpang.
Perantau dari Kota Bharu, Kelantan, Umi Sakina Mazelan, 30-an, berkata, barangan tersebut dibeli di Bintulu sebelum pulang ke kampung halaman.

“Saya membeli kek lapis dan barangan lain di sini sebelum pulang ke kampung.
“Bagasi saya juga dipenuhi dengan barangan tersebut,” katanya yang telah menetap di Bintulu sejak 2018.
Seorang lagi perantau dari Tanah Merah, Kelantan, Muhamad Ashraf Abd Rashid, 33, berkata, produk makanan Sarawak mendapat permintaan tinggi daripada ahli keluarga di kampung.
“Setiap kali pulang, saya akan membawa kek lapis, belacan dan ikan terubuk kerana barangan ini sering menjadi kiriman ahli keluarga terutamanya ikan terubuk,” katanya.
Sementara itu, Nur Haina Fazrina Hudaya, 24, anak jati Sarawak yang bekerja di Kota Kinabalu berkata akan meneruskan perjalanan ke kampung halamannya di Bintangor sempena Aidilfitri serta membawa makanan tradisional dari Sabah untuk dikongsi bersama keluarga.
“Saya membawa amplang dan kuih cincin dari Sabah untuk dikongsi bersama keluarga di kampung,” katanya.
Tinjauan turut mendapati sebahagian penumpang membawa lebihan bagasi yang dipenuhi makanan dan cenderamata, mencerminkan tradisi perantau yang pulang ke kampung dengan buah tangan menjelang Aidilfitri.
Oleh Carolyne Utih