
KEPUTUSAN mahkamah yang membenarkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan membuka satu episod baharu dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak.
Walaupun pada peringkat ini ia hanyalah kebenaran untuk memulakan prosiding, implikasinya jauh melangkaui aspek teknikal undang-undang. Ia menyentuh soal asas seperti isu dan persoalan pihak yang mempunyai kuasa sebenar terhadap sumber petroleum, karbon dan hasil ekonomi yang menjadi nadi kepada pembangunan Sarawak.
Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri AbangJohari Tun Openg, negeri ini telah mengorak langkah agresif membina sumber pendapatan sendiri, khususnya melalui Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum serta peluasan sektor tenaga seperti gas dan karbon.
Justeru, tindakan Petronas ini bukan sekadar cabaran undang-undang, tetapi berpotensi menjadi titik perubahan besar terhadap model ekonomi Sarawak.
Risiko perlembagaan: Menguji had kuasa negeri
Isu utama yang akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada Dewan Undangan Negeri Sarawak telah melangkaui kuasa perundangan dalam menggubal beberapa ordinan berkaitan gas, karbon dan alam sekitar.
Ini termasuk Ordinan Pengagihan Gas 2016 serta peraturan berkaitan penyimpanan karbon.
Sekiranya mahkamah memutuskan bahawa undang-undang ini tidak sah atau ultra vires, implikasinya amat besar. Ia bukan sahaja membatalkan peruntukan tertentu, malah juga mencabar asas autonomi Sarawak dalam mengurus sumber asli sendiri.
Dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sejarah pembentukan Persekutuan, Sarawak sentiasa menegaskan haknya ke atas sumber negeri.
Namun, Akta Kemajuan Petroleum 1974 memberikan kuasa luas kepada Petronas sebagai pemegang eksklusif hak petroleum negara. Konflik ini kini sampai ke medan perundangan tertinggi.
Risiko terbesar ialah jika Mahkamah Persekutuan mentafsirkan bahawa kuasa negeri adalah terhad secara ketara, maka segala usaha Sarawak memperluas bidang kuasanya melalui undang-undang negeri boleh dianggap tidak sah. Ini akan melemahkan posisi rundingan Sarawak dalam jangka panjang.

Risiko ekonomi: Ketergantungan kepada SST dan hasil tenaga
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak telah berjaya meningkatkan hasil negeri secara signifikan melalui pengenalan SST ke atas produk petroleum.
Hasil ini menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negeri, membolehkan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan Persekutuan.
Namun, jika mahkamah memutuskan bahawa mekanisme pengawalseliaan negeri terhadap sektor petroleum dan gas tidak sah, maka asas kepada kutipan SST ini juga boleh terjejas.
Hal ini kerana kuasa mengenakan cukai sering berkait rapat dengan bidang kuasa pengawalseliaan.
Kesan langsungnya ialah pengurangan hasil negeri secara mendadak yang Sarawak berpotensi kehilangan salah satu sumber pendapatan terbesar. Seterusnya akan berlakunya gangguan kepada perancangan pembangunan, iaitu projek infrastruktur, pendidikan dan kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada hasil ini boleh terjejas.
Juga, ketidaktentuan pelaburan terjadi apabila pelabur dalam sektor tenaga akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat yang akan menyebabkan kelembapan ekonomi.
Lebih penting, model ekonomi Sarawak yang dibina atas prinsip “resource etnonationalism” atau penguasaan sumber oleh negeri boleh tergugat. Maka, ini akan mengembalikan negeri kepada keadaan lebih bergantung kepada pusat.
Risiko strategik: Masa depan industri karbon dan tenaga hijau
Sarawak bukan sahaja bergantung kepada petroleum, tetapi juga sedang memposisikan dirinya sebagai hab tenaga hijau dan ekonomi karbon. Ordinan berkaitan penyimpanan karbon dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau adalah sebahagian daripada strategi ini.
Jika mahkamah memutuskan bahawa negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan karbon storage atau pengurusan pelepasan, maka, projek Pemerapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) boleh terganggu, kerjasama antarabangsa dalam ekonomi karbon mungkin terjejas dan Sarawak berpotensi kehilangan kelebihan sebagai peneraju tenaga hijau di Malaysia.
Situasi ini sangat kritikal kerana masa depan ekonomi global sedang beralih daripada petroleum tradisional kepada tenaga bersih. Sarawak telah mengambil langkah awal, tetapi keputusan mahkamah boleh melambatkan momentum ini.

Risiko politik: Hubungan Persekutuan–negeri
Kes ini juga membawa implikasi politik yang tidak boleh diabaikan. Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menegaskan pendekatan lebih autonomi dalam pelbagai aspek, termasuk ekonomi dan pentadbiran sumber.
Sekiranya mahkamah memihak kepada Petronas, ia boleh dilihat sebagai kemenangan Persekutuan, tetapi pada masa sama mencetuskan persepsi bahawa hak Sarawak semakin terhakis.
Maka ini berpotensi menguatkan sentimen autonomi dalam kalangan rakyat Sarawak, meningkatkan tekanan politik terhadap Kerajaan Persekutuan, menjadi isu utama dalam rundingan MA63 pada masa hadapan.
Sebaliknya, jika Sarawak berjaya mempertahankan undang-undangnya, ia akan mengukuhkan kedudukan politik GPS sebagai pelindung hak negeri.
Risiko institusi: Duluan undang-undang
Yang lebih penting ialah kes ini akan menjadi duluan (precedent) undang-undang yang sangat besar. Keputusan Mahkamah Persekutuan akan menjadi rujukan untuk kes-kes masa depan berkaitan kuasa negeri dalam sektor sumber asli, tafsiran MA63 dalam konteks moden, hubungan antara undang-undang negeri dan Persekutuan.
Jika precedent ini mengehadkan kuasa negeri, bukan sahaja Sarawak, malah Sabah dan negeri-negeri lain juga akan terkesan dan ini boleh mengubah struktur federalisme Malaysia secara keseluruhan.
Risiko sosial: Persepsi rakyat dan legitimasi dasar
Rakyat Sarawak telah melihat hasil nyata daripada peningkatan pendapatan negeri terutama dari segi pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan kesejahteraan sosial.
Jika keputusan mahkamah menyebabkan hasil negeri berkurang, kesannya bukan sekadar ekonomi tetapi juga psikologi.
Persepsi bahawa “hasil negeri banyak dimanfaatkan oleh pusat” boleh menimbulkan rasa kurang puas hati. Dalam jangka panjang, ini boleh menjejaskan legitimasi dasar nasional dan hubungan antara rakyat negeri dan Kerajaan Pusat.

Jalan tengah: Keperluan pendekatan rundingan
Walaupun kes ini akan diputuskan di mahkamah, hakikatnya penyelesaian terbaik mungkin bukan semata-mata melalui litigasi. Pendekatan rundingan antara Petronas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak adalah lebih konstruktif.
Model “cooperative federalism” boleh dipertimbangkan, iaitu Petronas kekal sebagai entiti nasional, Sarawak diberikan ruang pengawalseliaan tertentu dan hasil dikongsi secara lebih adil dan telus.
Aspek ini penting untuk memastikan kestabilan jangka panjang, khususnya dalam sektor tenaga yang sangat strategik.
Rumusan
Hakikatnya, perlu ada keseimbangan di antara kedaulatan negeri dan kepentingan nasional dan ditegaskan bahawa kes Petronas–Sarawak ini bukan sekadar pertikaian undang-undang biasa.
Situasi ini adalah ujian kepada keseimbangan antara kedaulatan negeri dan kepentingan nasional. Di satu pihak, Sarawak berusaha memperkukuh autonomi dan sumber pendapatannya.
Di pihak lain, Petronas mewakili kepentingan nasional yang berasaskan undang-undang persekutuan.
Risiko kepada Sarawak adalah daripada segi ekonomi, politik dan strategik. Namun, pada masa sama, kes ini juga membuka ruang untuk memperjelas sempadan kuasa dan memperkukuh struktur federalisme Malaysia.
Yang pasti, keputusan Mahkamah Persekutuan kelak akan menjadi titik rujukan penting dalam sejarah hubungan Persekutuan–Negeri.
Bagi Sarawak, cabarannya adalah memastikan bahawa perjuangan untuk hak negeri tidak hanya berakhir di mahkamah, tetapi diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian yang mampan, adil dan berorientasikan masa depan.
Dalam era peralihan tenaga dan geopolitik yang semakin kompleks, Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada kemenangan undang-undang semata-mata.
Ia memerlukan strategi lebih luas yang menggabungkan kekuatan perundangan, diplomasi politik dan inovasi ekonomi untuk memastikan bahawa kekayaan sumbernya benar-benar memberi manfaat maksimum kepada rakyatnya.
Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah Pengarah Kajian Kecemerlangan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.