
KUCHING: Sebanyak 855 projek dalam pembinaan di seluruh negara, satu pertiga berada lebih awal daripada jadual, satu pertiga mengikut jadual dan satu pertiga lagi mengalami kelewatan.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, daripada jumlah tersebut, hanya 4.1 peratus atau 35 projek dikategorikan sebagai projek sakit.
“Projek yang lewat jadual perlu dipercepatkan bagi memastikan ia tidak menjadi projek sakit.
“Kementerian kini memberi tumpuan kepada pencapaian positif projek yang berjaya disiapkan lebih awal sebagai penanda aras kepada pelaksanaan projek lain.
“Kita mahu lebih banyak projek yang berada dalam kategori ‘ahead of time’ kerana ia memberi manfaat kepada rakyat dan mencerminkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak Projek Pembinaan Kompleks BGP di sini, hari ini.
Ahmad Maslan turut menyentuh kaedah sistem pembinaan seperti Sistem Pracetak Modular (MPS) yang dilihat mampu mempercepatkan tempoh pembinaan pada masa hadapan.
“Pendekatan sistem modular kini dalam peringkat kajian dan percubaan termasuk pelaksanaannya bagi bilik darjah tambahan di sekolah berkepadatan tinggi.
“Bilik darjah tambahan menggunakan sistem modular boleh disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan sahaja.
“Prestasi projek yang lebih awal daripada jadual dijadikan contoh untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek lain di seluruh negara,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah