
KUCHING: Tugu Kucing di Jalan Padungan kembali berseri dengan hiasan lampu sempena Ramadan dan Aidilfitri, sekali gus menjadi lambang keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, mercu tanda ikonik itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah turut menjadi lokasi kegemaran penduduk tempatan untuk merakam gambar setiap kali menjelang musim perayaan.
Menurut beliau, tradisi menghias tugu berkenaan mengikut tema perayaan telah diamalkan sejak sekian lama dan mencerminkan budaya saling menghormati antara kaum di negeri ini.

“Setiap perayaan utama, kostum dan hiasan tugu akan ditukar bagi meraikan kepelbagaian budaya. Ini melambangkan apa yang diperjuangkan Sarawak iaitu keharmonian, saling menghormati dan pembinaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyalaan Lampu Ramadan di Tugu Kucing, Jalan Padungan, malam ini.
Beliau menambah, amalan meraikan perayaan bersama menjadi semakin bermakna ketika dunia berdepan konflik dan perpecahan.
“Di Sarawak, kita memilih untuk kekal bersatu, stabil dan hidup aman. Kita saling meraikan perayaan antara satu sama lain dan inilah keistimewaan Sarawak,” ujarnya.

Dr Sim turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati hati di jalan raya menjelang Aidilfitri berikutan peningkatan jumlah perjalanan sepanjang musim perayaan.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam. Pandulah dengan selamat dan nikmati rumah terbuka yang mencerminkan semangat sebenar Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Dr Sim turut menyifatkan penggunaan mercun dan bunga api ketika Aidilfitri sebagai contoh bagaimana tradisi antara kaum saling dikongsi di Sarawak.
“Dahulu mercun lebih sinonim dengan Tahun Baharu Cina, tetapi kini ketika Hari Raya juga kita melihat banyak bunga api. Ini menunjukkan budaya kita saling diterima dan diraikan bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pada tahun ini tugu berkenaan dihias dengan busana songket Melayu sebagai simbol sambutan Aidilfitri.
Beliau menjelaskan bahawa perayaan bukan sahaja masa untuk bergembira, malah waktu untuk menghargai keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat negeri ini.
“Walaupun dunia berdepan pelbagai konflik, Sarawak masih aman dan stabil. Tanpa kestabilan, kita tidak dapat meraikan perayaan dalam suasana harmoni seperti hari ini,” katanya.
Tambah beliau, usaha MBKS menghias tugu setiap tahun turut mencerminkan kehidupan masyarakat Kuching yang sentiasa meraikan kepelbagaian budaya.
“Kita baru sahaja menyambut Tahun Baharu Cina dan kini Aidilfitri pula. Inilah budaya kita di Kuching dan Sarawak,” ujarnya.
Dato Wee berkata tradisi menghias Tugu Kucing telah berlangsung lebih 20 tahun, dengan setiap reka bentuk dirancang lebih awal supaya tampil berbeza setiap tahun.
Oleh Adele Rissa