Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Aidilfitri beri limpahan rezeki kepada pengusaha biskut raya
  • NASIONAL

Aidilfitri beri limpahan rezeki kepada pengusaha biskut raya

Utusan Sarawak 23 hours ago
PENGUSAHA, Aminah Akmarina Osman, 40 (tiga kanan) bersama pekerja sibuk menyiapkan biskut raya yang ditempah pelanggan ketika ditemui Bernama di Kampung Gong Pauh hari ini. Kemeriahan sambutan Aidilfitri semakin dirasai apabila orang ramai mula membuat persiapan terakhir termasuk menyediakan pelbagai jenis kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung. Beliau berkata setakat ini jumlah tempahan biskut raya yang diterima melebihi 6,000 balang berbanding 4,000 balang pada tahun lepas. Foto Bernama.

CHUKAI: Kemeriahan Aidilfitri semakin dirasai apabila orang ramai mula membuat persiapan terakhir termasuk menyediakan kuih atau biskut raya untuk disajikan kepada tetamu yang datang di pagi Syawal nanti.

 Bagaimanapun, kekangan masa kerana sibuk dengan tugas harian menyebabkan ramai yang memilih untuk membeli atau menempah biskut raya, sekali gus membuka limpahan rezeki setahun sekali kepada pengusaha biskut raya.

Seorang pengusaha biskut raya, Aminah Akmarina Osman, 40, dari Kampung Gong Pauh, di sini berkata tempahan mula diterima sebelum Ramadan lagi terutama daripada pelanggan tetap yang sudah biasa membeli biskut raya buatannya.

Bekas pekerja sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri itu, berkata setakat ini tempahan biskut raya yang diterima lebih 6,000 balang, berbanding 4,000 balang pada tahun lepas.

PENGUSAHA, Aminah Akmarina Osman, 40, menyusun kuih raya yang ditempah pelanggan ketika ditemui Bernama di Kampung Gong Pauh hari ini. Kemeriahan sambutan Aidilfitri semakin dirasai apabila orang ramai mula membuat persiapan terakhir termasuk menyediakan pelbagai jenis kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung. Beliau berkata setakat ini jumlah tempahan biskut raya yang diterima melebihi 6,000 balang berbanding 4,000 balang pada tahun lepas. Foto Bernama

 “Jumlah tempahan yang diterima pada tahun ini meningkat terutama bagi biskut raya variasi moden, mungkin kerana pelanggan mahukan kelainan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Gong Pauh di sini hari ini.

Aminah Akmarina berkata tempahan yang diterima bukan sahaja daripada pelanggan tetap di Terengganu, malah dari beberapa negeri lain termasuk Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

“Antara biskut raya yang saya hasilkan ialah sarang semut, tart nanas, dark salted caramel, red velvet, bunga Cina klasik, kunafa pistachio, chocolate chip, cornflakes crunchy dan choco almond.

“Harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu antara RM23 hingga RM45 sebalang bergantung kepada jenis biskut,” katanya.

 Untuk menyiapkan tempahan, dia dibantu enam pekerja dan kerja membuat kek biasanya bermula dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari, namun berlarutan hingga 3.00 pagi pada minggu terakhir sebelum Aidilfitri.

 Aminah Akmarina berkata dia mempelajari teknik membuat biskut raya secara dalam talian, selain melakukan beberapa percubaan sendiri bagi memastikan biskut yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan dari segi kualiti, rasa dan penampilan.

 “Perniagaan biskut raya ini saya lakukan hanya pada Ramadan manakala pada hari biasa saya menerima tempahan pelbagai jenis makanan seperti kek, mi, nasi minyak, nasi Arab dan nasi ayam,” katanya yang memulakan perniagaan berkenaan sejak 2020.

Sebagai pengusaha biskut raya, dia akan terus melakukan penyelidikan dan inovasi bagi mendapatkan resipi biskut raya yang terbaik, sekali gus memastikan perniagaannya terus berkembang maju pada masa akan datang.- Bernama

Continue Reading

Previous: PdPR: KPM teliti secara menyeluruh, ambil kira kepentingan semua
Next: Lulusan ABM CIDB 100 peratus dapat kerja

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.