Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak Energy pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang Aidilfitri
  • TEMPATAN

Sarawak Energy pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang Aidilfitri

Utusan Sarawak 11 hours ago
NASIHAT keselamatan elektrik sempena sambutan Aidilfitri.

KUCHING: Sarawak Energy telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai di seluruh Sarawak sepanjang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad, Lau Kim Swee, sistem bekalan elektrik sentiasa dipantau secara berterusan dengan pasukan teknikal ditempatkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan yang tidak dijangka.

“Melalui pemantauan rapi sistem serta kesiapsiagaan kakitangan berpengalaman yang bertugas 24 jam, kami bersedia untuk bertindak pantas sekiranya berlaku gangguan bekalan. 

“Usaha ini turut disokong oleh penyediaan penjana mudah alih yang akan ditempatkan di lokasi kritikal sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, Sarawak Energy melalui cabang operasi dan peruncitannya akan terus memperkukuh pemantauan sistem bekalan, selain menyediakan sumber kontingensi tambahan bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani dengan segera dan berkesan.

Dalam pada itu, Sarawak Energy turut menggesa pengguna agar mengamalkan langkah keselamatan elektrik sebagai usaha bersama memastikan kelancaran sambutan perayaan.

Antara amalan yang disarankan termasuk memastikan pendawaian elektrik di kediaman berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan gangguan bekalan atau kerosakan.

Selain menggunakan soket elektrik secara selamat tanpa membebankan dengan penggunaan penyesuai atau sambungan berlebihan yang boleh menyebabkan pemanasan melampau serta risiko kebakaran.

Pengguna juga dinasihatkan agar mengendalikan kabel sambungan dengan betul, termasuk memastikan ia tidak berselirat atau diletakkan di bawah permaidani dan perabot yang boleh menyebabkan haba terperangkap.

Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan elektrik secara berhemah kerana penggunaan secara kolektif dapat membantu mengekalkan kestabilan bekalan untuk semua pengguna.

Sarawak Energy turut menekankan kepentingan pemantauan kawasan berhampiran talian elektrik, termasuk melaporkan sebarang pokok atau tumbuhan yang menghampiri talian atas kepada pihak syarikat bagi mengelakkan gangguan bekalan.

Orang awam juga digesa agar sentiasa berwaspada terhadap jenayah berkaitan elektrik seperti kecurian kabel atau vandalisme, dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik.

Dalam aspek keselamatan kerja, kontraktor serta pemilik premis diingatkan supaya mendapatkan pengesahan daripada Sarawak Energy sebelum menjalankan sebarang kerja penggalian bagi mengelakkan kerosakan pada kabel bawah tanah.

Pada masa sama, pemilik rumah dan penyewa turut diingatkan tentang kepentingan memastikan pemasangan elektrik yang selamat dan mematuhi piawaian, kerana pendawaian rosak atau sambungan haram boleh mendatangkan risiko keselamatan yang serius.

Sebarang aduan, kebimbangan atau laporan berkaitan boleh disalurkan kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, melalui e-mel, aplikasi mudah alih SEB cares, portal web rasmi, atau melalui ejen maya CARINA.

Langkah menyeluruh ini mencerminkan komitmen berterusan Sarawak Energy dalam memastikan bekalan elektrik kekal stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta kelancaran sambutan Aidilfitri di seluruh negeri.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: QMUSH bawa revolusi cendawan di Kuching
Next: Jumaat, 27 Mac 2026, Bintulu Port Holdings Berhad Group, Insurance Tender Notice

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.