
HOLLYWOOD, Amerika Syarikat: Filem One Battle After Another arahan Paul Thomas Anderson yang mengisahkan revolusioner berhaluan kiri, kumpulan supremasi kulit putih dan pusat tahanan pendatang dilihat oleh ramai penonton seolah-olah membuka jendela kepada realiti Amerika moden.
Namun, filem satira politik itu sarat dengan adegan kejar-mengejar kereta yang mendebarkan, tembak-menembak serta pelarian berbahaya turut menampilkan unsur percintaan, humor unik dan kisah menyentuh hati mengenai kasih sayang tanpa syarat seorang bapa terhadap anak perempuannya.

Gabungan elemen itu membolehkan filem berkenaan meraih anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik kelmarin, selain meraih enam trofi emas secara keseluruhan.
“Perkara yang benar-benar membuatkan saya teruja menghasilkan filem ialah bekerjasama dengan orang lain,” kata Anderson kepada wartawan di belakang pentas.
Pengarah itu menghimpunkan barisan pelakon terkenal termasuk pemenang Oscar terdahulu Leonardo DiCaprio, Sean Penn dan Benicio del Toro.
Beliau juga menampilkan lakonan mantap yang memukau daripada calon Oscar, Teyana Taylor. Kejayaan filem itu di Oscar seakan sudah dijangka.

Walaupun filem Sinners arahan Ryan Coogler mendahului jumlah pencalonan dengan rekod 16 kategori, One Battle After Another meraih pelbagai anugerah awal termasuk anugerah Critics Choice Awards, Golden Globe dan BAFTA.
Diilhamkan daripada novel Vineland karya Thomas Pynchon, filem itu mengisahkan kumpulan revolusioner kiri radikal fiksyen bernama French 75 yang melancarkan beberapa pengeboman bagi menyokong perjuangan golongan liberal.
Namun misi mereka mula menjadi kacau-bilau apabila mereka menyelamatkan sekumpulan pendatang dari sebuah pusat tahanan di sempadan Amerika Syarikat–Mexico, dan pemimpin radikal kumpulan itu, Perfidia Beverly Hills (Taylor), mencetuskan permusuhan dengan Kolonel Steve Lockjaw (Penn).

Perfidia kemudian menghilangkan diri, manakala kekasihnya yang juga pakar bahan letupan, Pat (DiCaprio), bersembunyi bersama anak perempuan mereka, Willa (lakonan pendatang baharu, Chase Infiniti).
Pada masa sama, Lockjaw secara perlahan menjejaki dan menyingkirkan setiap ahli French 75, selain bekerjasama dengan kumpulan supremasi kulit putih yang dikenali sebagai Christmas Adventurers.
Cerita kemudian melompat 16 tahun ke hadapan apabila Pat — kini menggunakan nama Bob Ferguson — hidup menyendiri dan sentiasa dilanda paranoia.
Lockjaw akhirnya berjaya mengesannya, malah tidak teragak-agak mengadakan operasi imigresen palsu untuk menjeratnya.
Willa yang kini remaja pula tiba-tiba hilang, manakala Bob yang fikirannya terganggu akibat bertahun-tahun penyalahgunaan alkohol dan dadah — berusaha mencari semula rakan revolusionernya bagi menjejaki anaknya.
“Saya suka idea bahawa penonton menjangka watak ini akan menggunakan kemahiran perisikan hebat, tetapi dia sendiri tidak dapat mengingati kata laluan,” kata DiCaprio kepada wartawan pada September lalu ketika filem itu mula ditayangkan. – AFP