
KUCHING: Persatuan Anak Kabong (PAK) terus memperkukuh peranannya apabila mengadakan Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ahli Jawatankuasa Baharu bagi sesi 2026/2027 dalam satu majlis yang berlangsung penuh bermakna di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan watikah lantikan kepada dua ahli jawatankuasa baharu iaitu Dr Mohd Fadzil Azuan Ghazali dari U.N.I Klinik Metrocity, Matang serta Salmiah Morshidi dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
Pelantikan itu diharap mampu memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan persatuan dalam melaksanakan pelbagai agenda pembangunan komuniti khususnya melibatkan anak-anak Kabong yang berada di perantauan.
Majlis berkenaan turut disusuli dengan acara berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan sekali gus menjadi platform merapatkan hubungan antara ahli persatuan.
PAK kini dianggotai oleh 15 ahli jawatankuasa yang merupakan gandingan kepimpinan lama dan baharu di bawah pimpinan Pengerusinya, Semawi Mohamad.
Gabungan kepimpinan berpengalaman dan muka baharu itu diyakini mampu membawa idea serta pendekatan segar dalam memperkukuh peranan persatuan pada masa akan datang.
Setakat tahun ini, PAK merekodkan seramai 460 ahli yang terdiri daripada anak-anak Kabong yang menetap di pelbagai lokasi termasuk di Bandaraya Kuching.
Persatuan itu juga terus berperanan sebagai platform untuk menghimpunkan warga Kabong di perantauan selain menjadi medium untuk memperkukuh jaringan sosial serta kerjasama dalam kalangan ahli.
Dalam pada itu, PAK mengalu-alukan lebih ramai anak Kabong yang berada di perantauan untuk tampil mendaftarkan diri sebagai ahli bagi memperluaskan lagi jaringan persatuan.
Malah, pihak persatuan percaya masih ramai yang belum mengetahui kewujudan PAK dan berharap mereka tampil menyertai persatuan itu bagi bersama-sama menjayakan pelbagai agenda serta perancangan yang bakal dilaksanakan pada masa akan datang.
Oleh Adi Safarman