
KUCHING: AirBorneo menyasarkan untuk memulakan penerbangan serantau termasuk ke Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu bermula Julai tahun ini sebagai sebahagian daripada fasa pengembangan operasi syarikat itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian, operasi tersebut merupakan Fasa 2 selepas pengambilalihan MASwings yang dilaksanakan pada 1 Januari lalu.
“Kita menyasarkan untuk memulakan penerbangan serantau pada Julai tahun ini dari pangkalan kita di Kuching.
“Kota Kinabalu dan Miri akan terus menjadi hab bagi pesawat turboprop, manakala Kuching akan menjadi hab operasi pesawat jet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa AirBorneo bersama media di sini, hari ini.
Tambahnya, pada peringkat awal operasi tersebut akan melibatkan tiga pesawat jet yang diperoleh secara pajakan basah sebelum rangkaian penerbangan diperluaskan secara berperingkat.
“Kita akan memulakan operasi dengan tiga pesawat yang disewa secara wet lease dan pesawat ini akan terbang ke beberapa destinasi.
“Ketika ini kita masih mendapatkan kelulusan serta slot penerbangan, namun kita hampir memuktamadkan satu destinasi antarabangsa serantau dan dua destinasi domestik.
“Selepas operasi stabil kira-kira tiga bulan, lebih banyak destinasi serantau akan ditambah secara berperingkat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, menjelang akhir tahun ini, AirBorneo menjangkakan rangkaian penerbangannya merangkumi sekitar tiga destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa serta slot penerbangan.
“Bagi laluan tersebut, syarikat akan menggunakan pesawat jenis Boeing 737-800. Pelbagai persiapan sedang dilaksanakan menjelang pelancaran operasi tersebut termasuk mendapatkan kelulusan regulatori serta kerjasama rapat dengan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM).
“Selain itu, kita juga memastikan pengalaman pelanggan, produk, penjenamaan serta pemasaran berada pada tahap terbaik.
“Pada masa sama, kita turut menumpukan kepada aspek komersial termasuk pengurusan hasil, rangkaian penerbangan serta jualan dan pengedaran,” ujarnya.
Jelas beliau, AirBorneo akan berkongsi maklumat lanjut mengenai laluan penerbangan, jadual serta pelan rangkaian syarikat itu dalam pembentangan rasmi dalam masa terdekat.
Untuk rekod, AirBorneo sebelum ini mengambil alih operasi MASwings pada awal tahun ini bagi memperkukuh ketersambungan udara di Sarawak, khususnya melibatkan penerbangan domestik dan luar bandar di negeri tersebut.
Oleh Masrin Affirah