
BELAGA: Penduduk di kawasan luar bandar digalakkan memanfaatkan kemudahan pusat digital seperti Pusat Ekonomi Digital (NADI) bagi memudahkan urusan permohonan serta semakan status Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang berkata, kemudahan tersebut boleh membantu masyarakat khususnya di kawasan pedalaman meningkatkan literasi digital serta mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, penggunaan pusat digital berkenaan dapat memudahkan penduduk mendapatkan maklumat tepat berkaitan bantuan kerajaan termasuk SKAS.

“Ambillah peluang untuk bertanya terus kepada pegawai mengenai status permohonan serta memahami cara membuat permohonan dengan betul agar masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat Daerah Belaga di Dewan Masyarakat Belaga di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Liwan turut menggalakkan penduduk yang belum tersenarai sebagai penerima agar mendapatkan penjelasan daripada pegawai bertugas bagi mengetahui sebab permohonan tidak diluluskan serta kaedah membuat permohonan yang betul.

SKAS 2026 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM640 juta memberi manfaat kepada golongan isi rumah, individu bujang serta warga emas tanpa pasangan yang layak di seluruh Sarawak.
Pada majlis itu, seramai sembilan penerima simbolik menerima sumbangan yang mewakili tiga kategori utama iaitu individu bujang, isi rumah dan warga emas tanpa pasangan.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara Senator, Micheal Mujah Lihan; Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, Ketua Polis Daerah Belaga DSP, Jimbai Bala; Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Kapit, Debbiana Enta John dan Ketua Penolong Pengarah HASiL, Sarawak Ugak Nyun.