
KUALA LUMPUR: Syarikat yang mempunyai jenama yang kukuh serta pengurusan kos lebih baik dijangka mencatatkan prestasi kewangan suku tahunan yang lebih memberangsangkan, kata penganalisis.
Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata pencapaian itu akan dipacu jualan musim perayaan sekali gus boleh menyokong harga saham masing-masing.
Beliau berkata sektor produk dan perkhidmatan pengguna, khususnya barang keperluan asas serta kaunter berkaitan pengangkutan darat seperti pengendali bas, lazimnya meraih manfaat daripada cuti perayaan Aidilfitri.
“Perbelanjaan pengguna biasanya meningkat semasa musim perayaan memandangkan isi rumah meningkatkan pembelian makanan, minuman dan barang keperluan lain sebagai persediaan untuk sambutan.
“Daripada perspektif prestasi pasaran saham, pelabur elalunya telah mengambil kira permintaan musim perayaan sebelum tempoh cuti sebenar, sekali gus berpotensi mendorong kenaikan harga saham sebelum hari raya bagi saham berkaitan pengguna dan pelancongan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata permintaan bermusim yang tinggi perta perbelanjaan pengguna yang meningkat pada musim perayaan cenderung meningkatkan prestasi kewangan syarikat tersebut pada suku itu.
Penggiat pengangkutan darat juga dijangka mencatatkan permintaan lebih tinggi, disokong oleh lonjakan aktiviti perjalanan apabila orang ramai pulang ke kampung halaman untuk bercuti, katanya.
“Bagi saham berkaitan pengangkutan, kesan konflik Asia Barat adalah minimum kerana harga petrol disubsidi oleh kerajaan, dengan bas awam serta kenderaan pengangkutan komersial tertentu juga layak menerima kadar subsidi, dan kebanyakan rakyat Malaysia telah membuat tempahan lebih awal sebelum musim perayaan,” katanya.
Leong berkata kaunter utama yang biasanya meraih manfaat termasuk 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, MR DIY Group (M) Bhd, AEON Co (M) Bhd, dan Perak Transit Bhd yang mengendalikan terminal pengangkutan awam.
Beliau berkata bagaimanapun, dalam persekitaran kos input yang meningkat serta sentimen pengguna yang berhati-hati, sebarang potensi kenaikan mungkin terhad, terutamanya susulan konflik geopolitik baharu di Asia Barat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peruncit utama seperti Eco-Shop Marketing Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Kawan Food Bhd dan Nestle (Malaysia) Bhd lazimnya menunjukkan prestasi lebih baik semasa musim perayaan utama.
“Syarikat barang pengguna cepat laris dan peruncit akan mendapat manfaat daripada musim perayaan justeru kalangan syarikat ini biasanya melaporkan perolehan lebih kukuh bagi tempoh tersebut.
“Susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kos barang dijangka lebih rendah bagi pengeluar. Pelabur biasanya telah mengambil kira saham ini memandangkan musim perayaan berlaku setiap tahun dan bukan cuti panjang yang mengejutkan,” katanya.
Beliau berkata Genting Malaysia Bhd juga berpotensi meraih manfaat daripada tempoh cuti panjang kerana menggalakkan lebih banyak perjalanan domestik serta aktiviti riadah, sekali gus meningkatkan jumlah pengunjung ke resort dan taman temanya.
-Bernama