
SIMANGGANG: Majlis Sungkey Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman berlangsung meriah di Dewan Al-Ghazali dekat sini, semalam.
Yang Dipertua PIBG SK Agama MIS Sri Aman, Ustaz Syaifullah Ismail berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa, murid serta bekas pelajar dalam suasana penuh ukhuwah sempena Ramadan.

Menurut beliau, majlis tersebut dianjurkan oleh PIBG SK Agama MIS Sri Aman dengan kerjasama alumni sekolah dan merupakan julung kalinya program seumpama itu diadakan bersama Alumni SK Agama MIS Sri Aman.
Katanya, program berkenaan berjaya menghimpunkan ibu bapa, murid, guru serta bekas pelajar dalam suasana santai dan harmoni sekali gus memperkukuhkan semangat kekitaan dalam komuniti sekolah.
Para hadirin turut membawa makanan, minuman dan tikar sendiri untuk berbuka puasa secara santai dan beramai-ramai, menjadikan suasana majlis lebih meriah serta penuh kemesraan.

Tambah beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja memupuk budaya berkongsi rezeki, malah mempereratkan lagi hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara ibu bapa, alumni, guru dan warga sekolah dalam suasana yang harmoni.
Majlis berkenaan berlangsung dengan lancar dan penuh keberkatan, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan komuniti SK Agama MIS Sri Aman dalam mengimarahkan Ramadan.
Oleh Adi Safarman