
SIBU: Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong disifatkan sebagai satu inisiatif penting kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Tahun ini, nilai bantuan bagi kategori isi rumah telah dinaikkan daripada RM800 kepada RM950.
“Bagi kategori warga emas dan mahasiswa pula, bantuan meningkat daripada RM400 kepada RM500, manakala bagi kategori bujang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran SKAS 2026 peringkat DUN Dudong di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, peningkatan jumlah bantuan tersebut diharap dapat membantu rakyat memenuhi keperluan asas harian.
Beliau turut menasihatkan para penerima supaya menggunakan bantuan itu dengan sebaiknya demi keperluan diri dan keluarga.
“Saya berharap semua penerima memanfaatkan bantuan ini dengan baik dan menggunakannya untuk perkara yang bermanfaat, khususnya bagi memenuhi keperluan keluarga,” katanya.
Oleh Akun Giman