KOTA SAMARAHAN: Hackathon Maya pertama di Malaysia yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Nexus Produktiviti Elektrik & Elektronik (ESPN) adalah satu inisiatif yang baik untuk mempromosikan kecerdasan buatan (AI) yang berasaskan kepada Sistem Penglihatan Mesin kepada pelajar universiti di negara ini.
Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata, ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan untuk menggalakan penglibatan pelajar dari universiti bagi membangunkan penyelesaian Bukti Konsep (POC) mesin yang berasaskan AI kepada syarikat tempatan terutamanya Syarikat Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS).
Katanya, objektif program tersebut adalah untuk meningkatkan produktiviti syarikat dengan menyediakan penemuan yang berpatutan kepada PKS.
“Dengan adanya usaha seperti ini, ia dapat meningkatkan daya saing dalam industri tersebut.
“Selain daripada itu, ia juga boleh meningkatkan produktiviti, keupayaan, dan kecekapan sub sektor elektrik dan elektronik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Hackathon Maya yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Nexus Produktiviti Elektrik & Elektronik (EEPN) yang diadakan di D-Virtual Park, Kota Samarahan, di sini, semalam.
Hadir sama, Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg dan Pengarah MPC, Sarimah Misman.
Jelas beliau, adalah sangat penting untuk sub sektor elektrik dan elektronik untuk memperkukuhkan kerjasama di antara industri, kerajaan dan Universiti untuk memastikan bekalan jurutera yang sudah ada di industri sentiasa mencukupi.
“Menurut laporan dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengatakan bahawa kadar pengganguran graduan adalah 3.9 peratus adalah dari tahun 2019. Manakala di Sarawak mencatatkan sebanyak 5.3 peratus kadar pengangguran di kalangan graduan.
“Kekurangan tenaga mahir dalam industri seperti ini akan memberi impak yang besar terhadap produktiviti syarikat di negara kita.
Beliau berkata, program seperti ini adalah satu platform yang baik kepada pelajar universiti supaya mereka (pelajar) didedahkan dengan kajian kes yang sebenar.
“Ini akan membentuk kemahiran pelajar dalam menyelesaikan masalah dalam pengurusan projek disamping itu secara tidak langsung juga akan memupuk pelajar university kita untuk menjadi usahawan melalui padanan perniagaan di antara PKS dan pelajar.
“Oleh itu, saya menggesa agar lebih banyak pelajar universiti dan Industri di negara ini untuk terus bekerjasama di dalam mengumpulkan kumpulan sumber daya manusia yang berbakat, menjadi strategi berimpak tinggi untuk memberi pendekatan yang lebih inovatif di semua sektor dalam menjana semula ekonomi,” ujarnya.
Terdahulu seramai 13 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan Hackathon Maya 2020 yang diadakan baru-baru ini.
Oleh Jeakqleyn Yacho