Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa 1 Jun depan
  • NASIONAL

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa 1 Jun depan

Utusan Sarawak 7 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kiri) menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah Kota Kinabalu hari ini. Turut sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tiga, kiri) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (lima, kiri). Foto Bernama

KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli akan berkuat kuasa mulai 1 Jun depan, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Jan 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bagaimanapun berkata tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.

“… manakala penyedia yang telah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026,” katanya pada sidang media sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Armizan berkata pindaan berkenaan memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78).

“Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal. Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.

“Pindaan ini juga menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli. Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian,” katanya.

Armizan berkata pindaan Akta Sewa Beli itu termasuk dalam fokus agenda gerakan kepenggunaan pada 2026, iaitu reformasi undang-undang yang terkait dengan hak dan kepentingan pengguna yang meliputi aspek pelaksanaan, pindaan dan penggubalan kerangka perundangan berkaitan.

“Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan bermula tahun lepas ialah memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna. Ini termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan Dewan Negara pada 4 September 2025.

“Akta 873 yang di bawah kawal selia Kementerian Kewangan ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026,” katanya.

Beliau berkata reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.- Bernama

Continue Reading

Previous: Permohonan penggantungan tidak jejas prinsip hak 40 peratus Sabah – Mustapha
Next: 40 peratus hasil Sabah muktamad, kerajaan kekal komited tunaikan tuntutan di bawah MA63 – Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.