
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof meluangkan masa melawat Program Kelam Carbut yang berlangsung di tapak lama Kubah Ria, semalam.
Beliau yang diiringi Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman meninjau program santai anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menghimpunkan jualan makanan, barangan Hari Raya serta ruang santai bermoreh sempena Ramadan.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut mengunjungi setiap tapak jualan, membeli makanan serta menyapa para peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia dari kawasan Tupong.
Selain itu, beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya turut beramah mesra dan bertanya khabar kepada para pengunjung yang hadir sama ada untuk bersantai mahupun membeli barangan yang dijual di tapak berkenaan.
Sementara itu, Dato Fazzrudin ketika ditemui pemberita berkata program yang dianjurkan buat kali kedua itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu mampu menghidupkan suasana komuniti selain memberi ruang kepada usahawan kecil menjana pendapatan.
“Alhamdulillah, sambutan amat memberangsangkan dengan penyertaan 25 peserta jualan dan kita akan cuba melaksanakannya secara berkala setiap bulan,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur juga berhasrat memastikan program berkenaan mampu berdikari melalui sewaan tapak selain menggalakkan peserta lebih kreatif menjana pendapatan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Belia PBB Tupong merangkap Ketua Projek Kelam Carbut, Zulaikha Ibrahim berkata program tersebut dirancang untuk dianjurkan setiap bulan dengan kemungkinan penambahan peserta jualan pada masa akan datang.
Sementara itu, Bendahari PBB Tupong merangkap Timbalan Ketua Projek Kelam Carbut, Sharifah Nur Shaqeera Wan Jodan memaklumkan program berkenaan akan diadakan dari Jumaat hingga Ahad setiap bulan di tapak yang sama.
Menurutnya, maklum balas daripada para peserta jualan juga amat positif kerana kawasan tersebut terbuka serta menjadi lebih meriah apabila program berkenaan dianjurkan.
-UKAS