
SPAOH: Usaha memelihara dan menghidupkan semula warisan sukan tradisional di kawasan Bukit Saban terus diperkukuh apabila Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa komuniti setempat menubuhkan Kelab Permainan Tradisional Bukit Saban.
Beliau turut meluluskan geran permulaan sebanyak RM30,000 bagi menyokong penubuhan kelab tersebut sebagai langkah memperkasa aktiviti permainan tradisional dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, usaha itu penting bukan sahaja untuk memastikan permainan tradisional terus diwarisi oleh generasi muda, malah berpotensi dijadikan produk pelancongan yang mampu memperkenalkan identiti serta keunikan Bukit Saban kepada pengunjung luar.
“Permainan tradisional ini perlu kita pelihara kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat kita. Sebab itu saya mahu kelab ditubuhkan, dan saya luluskan geran permulaan RM30,000 bagi menyokong penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Pesta Makanan dan Sukaneka Bukit Saban yang diadakan di Rumah Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku di sini, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata golongan tua serta individu yang arif mengenai permainan tradisional perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memindahkan pengetahuan tersebut kepada generasi muda.
Katanya, penglibatan belia amat penting agar sukan tradisional tidak hilang ditelan arus pemodenan, sebaliknya terus kekal sebagai aktiviti komuniti yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai lapisan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan bahawa Piala Gasing Bukit Saban akan dianjurkan pada Mei ini sebagai salah satu inisiatif untuk menghidupkan kembali minat terhadap permainan tradisional dalam kalangan masyarakat.
Menyentuh mengenai projek Replika Kubu Rentap pula, beliau memaklumkan projek berkenaan telah melalui proses tender dan pelantikan kontraktor dijangka dibuat dalam masa terdekat dengan tempoh pelaksanaan kira-kira dua tahun.
Oleh Adi Safarman