
SIBU: Persatuan Pemuda Kristian (YMCA) Sibu berhasrat memperluaskan pelbagai aktiviti dan program pada tahun hadapan dalam usaha memastikan organisasi itu terus aktif serta relevan kepada komuniti setempat.
Menurut residennya Senator Robert Lau Hui Yew, penyertaan ahli sepanjang tahun lalu amat memberangsangkan dengan kehadiran ahli lama dan juga ahli baharu yang semakin aktif mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjurkan.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, ahli dan kakitangan YMCA Sibu telah bekerjasama menganjurkan pelbagai aktiviti melalui jawatankuasa serta kumpulan perkhidmatan yang terdapat dalam organisasi berkenaan.
“Kami bertuah kerana mempunyai sekumpulan ahli dan rakan sekerja yang sangat komited untuk bekerjasama. Sepanjang tahun lalu juga, kami melihat ramai ahli baharu menyertai YMCA dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan,” ujarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) YMCA Sibu, semalam.
Lau berkata, pihaknya turut mengambil seorang kakitangan baharu bagi memberi tumpuan kepada penganjuran program serta aktiviti di pusat tersebut.
“YMCA Sibu juga terus memperkukuhkan program sedia ada sambil mengurus beberapa inisiatif yang sedang dijalankan.
“Antara cabaran utama yang dihadapi organisasi tersebut ialah pembangunan kem perkhemahan berkonsepkan resort milik YMCA yang terletak sekitar 32 kilometer dari bandar Sibu.
“Cabaran terbesar kami ialah kem YMCA yang terletak sekitar 32 kilometer dari sini. Persoalannya ialah bagaimana kita dapat mengekalkan serta membangunkannya supaya ia dapat terus beroperasi dengan berkesan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan melalui pelbagai platform serta kerjasama bagi membantu menjana sumber untuk menyokong operasi pusat tersebut dan menampung sebahagian kos.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Lau berkata, pihaknya berharap YMCA Sibu akan menjadi lebih aktif dalam menganjurkan program serta melibatkan masyarakat setempat.
“Kami berharap pada tahun akan datang kami dapat menjadi lebih aktif dan terus bergerak ke hadapan dengan lebih banyak program serta aktiviti,” kata beliau.
Turut hadir ialah Naib Presiden YMCA Sibu Dato Janet Lau Ung Hie dan Wong Ei Sing, setiausaha kehormat Teresa Lau Pick Eng dan bendahari kehormat Penghulu Yong King Sung.
Oleh Akun Giman