Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Es Pisang Ijo tradisi Bugis juadah ‘sungkai’ di Sabah
  • RENCANA

Es Pisang Ijo tradisi Bugis juadah ‘sungkai’ di Sabah

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGUSAHA Pisang Ijo, Ramlah Djasmail (kiri), menghidangkan pencuci mulut tradisional masyarakat Bugis, Pisang Ijo, yang menjadi kegemaran ramai di Sabah. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Ketika umat Islam mencari juadah menyegarkan untuk berbuka puasa, pencuci mulut tradisi masyarakat Bugis Es Pisang Ijo, semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan di Sabah.

Kombonasi pisang dibalut adunan berwarna hijau serta dihidangkan bersama kuah santan manis yang sejuk, hidangan berasal dari Makassar, Indonesia itu kini menjadi antara pilihan popular sepanjang Ramadan untuk berbuka puasa atau ‘sungkai’ menurut bahasa tempatan.

PISANG Ijo, pencuci mulut tradisional masyarakat Bugis, semakin menjadi kegemaran penggemar makanan di Sabah sepanjang bulan Ramadan. Foto BERNAMA

Teksturnya yang lembut, digabungkan dengan rasa manis santan serta kesegaran ais, menjadikan Es Pisang Ijo bukan sahaja pencuci mulut, malah hidangan yang mampu menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa.

Bagi pengusaha Es Pisang Ijo Ramlah Djasmail, 44, kemahiran menyediakan hidangan itu dipelajarinya sejak kecil dengan membantu ibunya berniaga.

Berkongsi cerita, beliau mula membantu ibunya menjual pencuci mulut tradisional itu sejak berusia kira-kira 12 tahun, dan resipi yang digunakan sehingga kini merupakan resipi turun-temurun keluarganya.

PISANG Ijo, pencuci mulut tradisional masyarakat Bugis, semakin menjadi kegemaran penggemar makanan di Sabah sepanjang bulan Ramadan. Foto BERNAMA

“Di Makassar, Es Pisang Ijo memang sangat popular terutama ketika Ramadan. Biasanya orang akan cari hidangan yang sejuk dan manis untuk berbuka,” katanya ketika ditemui Bernama.

Ramlah berkata hidangan itu adalah pencuci mulut tradisional masyarakat Bugis yang lazim dijual secara meluas di Makassar sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata penyediaannya agak ringkas dengan menggunakan bahan asas seperti tepung gandum dimasak tanpa minyak sebelum dicampurkan dengan santan, marjerin, gula dan sedikit garam.

“Juadah ini dihasilkan menggunakan pisang yang dibalut dengan adunan tepung berwarna hijau sebelum dikukus.

“Antara jenis pisang sesuai digunakan ialah pisang raja, pisang berangan atau pisang Sabah kerana teksturnya yang lembut dan manis,” katanya.

PENGUSAHA Es Pisang Ijo, Ramlah Djasmail menghidangkan pencuci mulut tradisional masyarakat Bugis, Pisang Ijo, yang menjadi kegemaran ramai di Sabah. Foto BERNAMA

Menurutnya, selepas dikukus, pisang tersebut akan dipotong dan dihidangkan bersama kuah santan manis yang sejuk serta ais bagi memberikan rasa lebih menyegarkan.

Ramlah berkata hidangan itu sering menjadi pilihan pelanggan sepanjang Ramadan kerana rasanya yang sejuk dan ringan untuk dinikmati selepas berbuka.

Sepanjang Ramadan tahun ini, beliau mampu menghasilkan lebih 100 Pisang Ijo setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurutnya, jika dihidangkan dalam mangkuk, jumlah itu boleh mencecah kira-kira 300 hidangan sehari.

Ramlah berkata hidangan berkenaan dijual pada harga RM9 hingga RM10 bagi satu set, dan beliau bersyukur kerana pencuci mulut tradisional itu terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negeri ini. – Bernama

Continue Reading

Previous: Nasi Kandar, teh tarik jadi pilihan di meja iftar Jakarta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.