Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Studio fotografi masih jadi pilihan rakam kenangan Aidilfitri
  • INSPIRASI

Studio fotografi masih jadi pilihan rakam kenangan Aidilfitri

Utusan Sarawak 6 hours ago
PEMILIK Cre@+ve Capture Studio di Bandar Perdana, Ahmad Jimmy (kanan) memotretkan gambar sebuah keluarga di studionya ketika ditemui baru-baru ini. Bergambar di studio bagi mengabadikan kenangan bersama keluarga ketika perayaan seperti Aidilfitri seakan menjadi satu kemestian pada era 60-an, 70-an serta awal 80-an. Namun, seiring dengan kepesatan teknologi, tradisi itu kian dilupakan, perlahan-lahan ditelan arus perubahan zaman. Bagaimanapun di Sabah, perkhidmatan studio fotografi masih kekal relevan dan menjadi pilihan masyarakat untuk merakam memori keluarga. Foto BERNAMA

BERGAMBAR di studio bagi mengabadikan kenangan bersama keluarga ketika perayaan seperti Aidilfitri seakan menjadi satu kemestian pada era 60-an, 70-an serta awal 80-an.

Namun, seiring dengan kepesatan teknologi, tradisi itu kian dilupakan, perlahan-lahan ditelan arus perubahan zaman.

Bagaimanapun di Sandakan, Sabah, perkhidmatan studio fotografi masih kekal relevan dan menjadi pilihan masyarakat untuk merakam memori keluarga.

PEMILIK Cre@+ve Capture Studio di Bandar Perdana, Ahmad Jimmy Ahmad Jimmy memastikan sudut terbaik untuk merakam gambar pelanggan di studionya yang menggunakan dua konsep utama iaitu ‘Klasik’ dan ‘Muji’ ketika ditemui baru-baru ini. Foto BERNAMA

Menyedari permintaan yang tinggi, Cre@+ve Capture Studio di Bandar Perdana, di sini tampil menghidupkan pengalaman itu dengan pendekatan lebih moden, selari dengan perkembangan teknologi dan cita rasa generasi masa kini.

Pemilik studio berkenaan Ahmad Jimmy, 41, yang telah berkecimpung dalam bidang fotografi sejak 11 tahun lepas berkata meskipun berdepan persaingan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kamera telefon pintar, studio fotografi fizikal masih kekal menjadi pilihan utama masyarakat setempat.

PEMILIK Cre@+ve Capture Studio di Bandar Perdana, Ahmad Jimmy (kanan) dibantu oleh isterinya Siti Nur Fadhilah Mohd Fajeer ketika mengambil gambar pelanggan di studo miliknya, baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Tawaran perkhidmatan dan hasil gambar di studio mempunyai keistimewaan tersendiri, misalnya gambar di studio lebih realistik berbanding janaan AI.

“Saya mempertaruhkan kreativiti menerusi latar belakang hiasan studio yang mampu menggamit suasana sebenar. Ia dapat merakam momen indah dengan kualiti yang jauh lebih tinggi. Selain itu, gambar di studio dikendalikan oleh jurugambar profesional yang lebih arif tentang sudut terbaik,” katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut mengenai persiapan sempena Aidilfitri kali ini, Ahmad berkata beliau bersama isteri, Siti Nur Fadhilah Mohd Fajeer, 38, sepakat memilih dua konsep utama untuk studio mereka, iaitu “Klasik” dan “Muji”.

PEMILIK Cre@+ve Capture Studio di Bandar Perdana, Ahmad Jimmy menyusun gambar yang telah siap sebelum diserahkan kepada pelanggan ketika ditemui baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata konsep Muji menonjolkan elemen moden yang menekankan gaya minimalis serta ketenangan, diterjemahkan melalui penggunaan rona neutral seperti putih, kayu cerah dan beige manakala sebahagian ruang studio menggunakan konsep klasik yang dihiasi dengan pelbagai barangan antik.

Katanya antara barangan antik itu termasuklah radio dan televisyen lama, jam dinding, pelita, seterika arang, mesin jahit, dulang serta pita rakaman.

“Konsep ini membawa nilai sentimental yang tinggi, bukan sahaja kepada diri saya malah turut dirasai pelanggan. Hiasan klasik sememangnya menggamit nostalgia zaman kanak-kanak sewaktu di kampung. Sebagai contoh, hiasan seterika arang mengingatkan saya pada kenangan 20 atau 30 tahun lepas, jika tak pandai menggunakannya, baju boleh menjadi hitam terkena arang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bersyukur apabila tempahan sesi bergambar di studionya mendapat sambutan luar biasa dan mengakui slot fotografi bermula hari raya pertama hingga hari keempat telah penuh.

PEMILIK Cre@+ve Capture Studio di Bandar Perdana, Ahmad Jimmy menyusun hiasan di studionya yang menggunakan dua konsep utama iaitu ‘Klasik’ dan ‘Muji’ sewaktu ditemui baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Kami menawarkan pakej berpatutan serendah RM200. Sambutan di luar jangkaan, sebelum sempat menguar-uarkan pakej promosi di media sosial, slot telah penuh hanya melalui hebahan dari mulut ke mulut dalam kalangan rakan dan pelanggan.

“Bagi menampung permintaan yang terlalu tinggi ini, kami juga telah membuka slot bergambar tambahan pada pukul 10.00 malam sebelum menjelangnya hari raya,” katanya.

Sementara itu, beberapa individu yang ditemui mempunyai alasan tersendiri memilih perkhidmatan studio untuk merakam gambar kenangan bersama keluarga dan bagi Abang Khairul Rizman Abang Buseman, 32,  yang bertugas di Pangkalan Polis Marin Sandakan, beliau mahukan sentuhan jurugambar profesional selain suasana studio yang menarik, berjaya membangkitkan nostalgia perayaan.

Pengurus restoran Muzzammil Sanapati, 34, yang senada berkata kualiti gambar profesional adalah lebih baik termasuk berbanding gambar janaan AI.

“Lebih penting, jurugambar mempunyai kepakaran untuk mengajar dan menyusun gaya bagi memastikan setiap gambar keluarga tampil cantik. Hasilnya pasti akan menjadi kenangan berharga,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bangkit selepas kanser, ibu tunggal hasilkan biskut bebas gluten

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.