
PETRA JAYA: Konflik yang berlarutan di Asia Barat berpotensi menjejaskan kos menunaikan haji tahun ini susulan kemungkinan kenaikan harga minyak dan kos logistik global.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, krisis tersebut boleh meningkatkan kos pengangkutan udara dan laut sekali gus memberi kesan kepada harga barangan serta kos perjalanan.
“Bila krisis harga minyak naik, kos insurans juga meningkat dan ini akan menyebabkan kos logistik seperti kapal terbang serta pengangkutan laut turut meningkat.
“Keadaan itu bukan sahaja boleh menjejaskan kos penerbangan haji malah berpotensi memberi kesan kepada harga barangan import di negara ini.
“Perjalanan antara Sabah dan Sarawak juga akan terkesan kerana kenaikan kos penerbangan yang lazimnya melibatkan caj tambahan bahan api,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat ADUN N7 Samariang, hari ini.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang memantau perkembangan situasi berkenaan dengan rapi bagi memastikan impaknya dapat ditangani sebaik mungkin.
Beliau turut memaklumkan bahawa Lembaga Tabung Haji telah mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk dari Saudi Arabia bagi memastikan kos penerbangan haji tidak menjejaskan jemaah Malaysia.
“Keputusan lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan oleh tabung haji atau menteri agama selepas rundingan dimuktamadkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan juga mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz sekiranya konflik di rantau tersebut berpanjangan.
Bagaimanapun beliau menegaskan kedudukan ekonomi negara masih berada pada tahap yang baik dan Malaysia diyakini mampu bertahan walaupun berdepan cabaran global.
Untuk rekod, konflik yang memuncak di rantau Asia Barat ketika ini melibatkan ketegangan antara Iran dan beberapa pihak di rantau tersebut yang berpotensi menjejaskan keselamatan laluan perdagangan serta bekalan tenaga global.
Selat Hormuz pula merupakan laluan strategik yang menghubungkan Persian Gulf dengan perairan antarabangsa dan menjadi antara laluan utama penghantaran minyak dunia, menyebabkan sebarang gangguan di kawasan itu boleh memberi kesan langsung kepada harga minyak dan kos logistik global.
Oleh Masrin Affirah