Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Bazar Ramadan ubat rindu perantau Malaysia di Beijing
  • RENCANA

Bazar Ramadan ubat rindu perantau Malaysia di Beijing

Utusan Sarawak 7 hours ago
PENGANJUR, penjual dan pengunjung merakam gambar kenangan pada Bazar Ramadan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang menghimpunkan lebih 300 pengunjung.

BEIJING: Berada jauh dari tanah air tidak menghalang komuniti Malaysia di Beijing daripada merasai kemeriahan bazar Ramadan yang mereka anjurkan di Kedutaan Besar Malaysia di sini. 

Bazar cetusan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Beijing itu menyajikan pelbagai hidangan tradisional dan popular seperti nasi kerabu, sate, cendol serta aneka kuih-muih, sekali gus menghidupkan suasana berbuka puasa yang sering dirindui rakyat Malaysia di perantauan.

Bagi pelajar Universiti Jiaotong Beijing, Putera Mikael Heikal Syhaiful Afanddi, 24, meskipun bazar itu tidak sebesar di Malaysia, suasana yang dibawakan sedikit sebanyak mengubat kerinduannya pada kemeriahan Ramadan di tanah air.

BAZAR Ramadan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing mengubat rindu rakyat Malaysia di perantauan dengan hidangan tradisional seperti nasi kerabu, sate dan cendol, selain mengeratkan silaturahim komuniti Malaysia di China.

“Saya sangat teruja melihat suasana di sini dengan kehadiran ramai pengunjung. Terdapat banyak makanan yang susah untuk didapati di Beijing seperti kek batik dan cendol,” katanya ketika ditemui Bernama.

Tahun kedua berpuasa di China, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkata pengalaman menyambut Ramadan di negara tersebut memberikan pengalaman baharu dan berharga kepadanya berikutan perbezaan budaya dan cuaca.

Sementara itu, Muhammad Farid Haikal Mohd Rosli, 24, pula berkata penganjuran bazar berkenaan menjadi platform bagi komuniti Malaysia di Beijing untuk mengeratkan silaturahim selain memeriahkan bulan Ramadan.

KOMUNITI Malaysia di Beijing menghidupkan suasana Ramadan melalui penganjuran bazar di Kedutaan Besar Malaysia, menghimpunkan pelbagai juadah tradisional yang mengubat kerinduan perantau.

“Biasanya kami pelajar di sini akan memasak sendiri juadah berbuka puasa, tetapi hari ini dapat merasai masakan orang Malaysia yang tentunya berbeza dengan masakan sendiri,” katanya.

Warga  kedutaan, Tuan Nozora Tuan Hasan turut berkongsi keterujaannya menyediakan hidangan bagi menjayakan bazar tersebut dengan bangun seawal 4.00 pagi untuk menyiapkan juadah seperti nasi dagang dan nasi kerabu.

Beliau berkata walaupun berdepan cabaran mendapatkan beberapa bahan mentah bagi menyediakan hidangan pantai timur itu, masalah tersebut dapat diatasi dengan kerjasama sesama mereka. 

WALAU jauh dari tanah air, kemeriahan Bazar Ramadan di Beijing mengubat rindu rakyat Malaysia dengan aroma masakan tradisional dan suasana berbuka yang penuh keakraban.

“Di Beijing agak sukar mendapatkan ikan dan bahan mentah tertentu, malah ada yang perlu ditempah lebih dua minggu lebih awal. Namun, dengan bantuan kakitangan yang lebih senior, kami berjaya mendapatkannya,” katanya.

Sementara itu, penyelaras program Estia Amy Nyopieh dan Muanati Afzan Mohammad berkata program kali kedua tersebut melibatkan penyertaan 16 penjual yang menawarkan lebih 50 jenis juadah warisan Malaysia.

Menurut mereka, sebahagian daripada bahan tertentu juga dibawa khas dari Malaysia bagi memastikan rasa asli hidangan tradisional dapat dikekalkan.

WARGA Malaysia di Beijing bergambar kenangan selepas memeriahkan Bazar Ramadan di Kedutaan Besar Malaysia, sekali gus mengubat kerinduan suasana berbuka puasa di tanah air.

Katanya, penganjuran selama kira-kira dua jam itu berjaya menarik lebih 300 pengunjung daripada pelbagai komuniti.

“Menerusi program ini kita berharap dapat mengubat kerinduan warga Malaysia pada makanan di kampung halaman, selain memperkenalkan hidangan tradisional negara kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bajet Ramadan dan Aidilfitri
Next: Nasi Kandar, teh tarik jadi pilihan di meja iftar Jakarta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.