Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Tiga kes curi elektrik dikesan di Kuching
  • JENAYAH

Tiga kes curi elektrik dikesan di Kuching

Utusan Sarawak 5 hours ago
KONTRAKTOR memecahkan konkrit bagi mengesan kabel sambungan elektrik haram di salah sebuah premis di Kuching.

KUCHING: Sarawak Energy melalui cabang operasi dan runcitnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) mengesan tiga kes kecurian elektrik di sini, yang melibatkan sambungan kabel tersembunyi di Batu Kawa, Stutong dan Jalan Stephen Yong.

Menurut Sarawak Energy dalam satu kenyataan, sambungan elektrik tersebut dikesan ditanam di bawah tanah dan disembunyikan di bawah permukaan konkrit bagi mengelak daripada dikesan serta memintas sistem meter dan mekanisme keselamatan yang sepatutnya.

KABEL sambungan elektrik haram yang ditemui selepas konkrit dipecahkan.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mendatangkan risiko keselamatan serius termasuk kebakaran elektrik, renjatan elektrik serta gangguan bekalan elektrik kepada pengguna berhampiran.

“Pencurian elektrik adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Sarawak Energy turut mengingatkan pemilik premis supaya memantau penggunaan elektrik di premis masing-masing kerana pemilik hartanah juga boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kecurian elektrik di premis mereka.

KABEL sambungan elektrik haram yang dikesan tertanam di bawah permukaan konkrit.

Selain itu, penyewa juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap pemasangan elektrik yang mencurigakan serta melaporkan sebarang aktiviti yang disyaki kepada pihak berkuasa.

Orang ramai turut diminta peka terhadap tanda-tanda kecurian elektrik seperti bil elektrik yang luar biasa rendah, kewujudan pendawaian mencurigakan atau kesan pengorekan dan kabel tersembunyi berhampiran pemasangan elektrik.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau melalui emel customercare@sarawakenergy.com.

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sri Aman atas kes penipuan telefon, pinjaman tidak wujud

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.