
SIMANGGANG: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah berjaya mengheret dua lelaki tempatan ke Mahkamah Majistret Sri Aman hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes penipuan di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.
Bagi kes pertama, seorang lelaki berusia 32 tahun, Alister Nigel Henry yang berasal dari Jalan Stampin, Kuching, telah dituduh melakukan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis bagi memperdaya mangsa menerusi panggilan telefon.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM117,000 setelah terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai Touch ‘n Go dan pegawai polis dari IPD Pulau Pinang.
Sebanyak RM8,000 daripada wang milik mangsa telah dipindahkan ke akaun milik tertuduh tanpa pengetahuan mangsa kononnya bagi tujuan pembersihan akaun daripada aktiviti haram.
Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 yang telah pun dijelaskan oleh tertuduh.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 28 tahun dari Kampung Sungai Pinang, Bau, iaitu Daneilson Donny, turut didakwa di bawah seksyen yang sama kerana terlibat dalam kes penipuan berkaitan tawaran pinjaman tidak wujud.
Berbeza dengan kes pertama, tertuduh dalam kes ini mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM150,000, atau kedua-duanya sekali bagi individu yang menggunakan rangkaian komunikasi untuk menyamar dan memperdaya mangsa.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan bertolak ansur dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penipuan, terutamanya yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai penguatkuasa.
Sehubungan itu, Superintenden Dennis Bunyam menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai polis, pegawai bank, atau wakil agensi kerajaan.
Beliau turut menggesa masyarakat untuk membuat semakan terlebih dahulu dan segera membuat laporan polis sekiranya menerima komunikasi yang meragukan.
Komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah komersil akan terus dipergiatkan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman