Hari Rabies Sedunia telah disambut di peringkat Negeri Sarawak baru-baru ini, bertempat di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pemilik haiwan peliharaan.
Hari Rabies Sedunia disambut setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan rabies kepada manusia dan haiwan.
Jabatan Veterinar Negeri Sarawak merupakan penganjur utama pada tahun ini dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Pelbagai aktiviti telah dijalankan pada hari tersebut termasuk suntikan vaksin rabies, pelesenan serta microchipping.
Menurut Pegawai Bahagian Kesihatan Verterinar Dr.Nicholas Jenek, program seperti ini juga memberi maklumat dan nasihat tentang cara mencegah penyakit pada masyarakat yang berisiko dan meningkatkan usaha dalam pengendalian rabies.
“Setakat hari ini sebanyak 200 ekor anjing yang berjaya diberi suntikan vaksin di program ini. Kita berharap agar lebih ramai lagi pemilik haiwan turut serta dalam program seperti ini di masa akan datang kerana kita mahu pada tahun 2025 Sarawak bebas dari penyakit rabies.
Justeru para pemilik haiwan khususnya anjing diminta tampil untuk membawa haiwan peliharaan masing-masing bagi disuntik vaksin kerana virus rabies ini.
Jelasnya lagi, program yang dianjurkan itu lebih memberi tumpuan kepada haiwan anjing sahaja. Bagaimanapun, para pemilik kucing boleh mendapatkan vaksin tersebut di klinik veterinar yang berdekatan dengan mereka.
“Selain daripada vaksin, program ini juga turut menawarkan perkhidmatan seperti pembaharuan lesen anjing dan mikrochipping kepada haiwan peliharaan,”ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng menyeru agar pemilik haiwan di negeri ini mengambil peluang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan anjing mereka diberi vaksin anti-rabies.
“Pemilik anjing harus sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pemilik haiwan dalam memastikan haiwan peliharaan mereka selamat dari virus rabies.
“Penyakit rabies masih ada malah ia membahayakan orang ramai, saya menyeru kepada pemilik haiwan supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memastikan haiwan mereka diberi vaksin anti-rabies ini supaya haiwan peliharaan mereka tidak jangkit anjing lain dan selamat kepada masyarakat.
“Saya juga berharap agar pemilik haiwan terus bekerjasama untuk membendung penularan wabak rabies di Sarawak. Di program seperti ini semua fasiliti telah disediakan dan yang hanya perlu mereka lakukan adalah datang dan bawa haiwan peliharaan mereka sahaja.”Katanya.
Sementara itu, rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.
Terdapat dua bentuk manifestasi klinikal jangkitan rabies iaitu galak dan paralitik (kelumpuhan). Rabies galak adalah yang paling umum berjangkit pada manusia.
Terdapat 99 peratus kes rabies adalah berpunca daripada anjing. Virus rabies menjangkiti manusia melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.
Masa inkubasi rabies adalah tiga minggu hingga dua bulan dari gigitan haiwan hingga timbul gejala.
Oleh Jeakqleyn Yacho