Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Penggunaan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ dalam kalangan belia Malaysia bawah 30 tahun membimbangkan
  • SEMASA

Penggunaan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ dalam kalangan belia Malaysia bawah 30 tahun membimbangkan

Utusan Sarawak 8 hours ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Penggunaan kemudahan pembayaran ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (Buy Now, Pay Later- BNPL) dalam kalangan belia Malaysia menimbulkan kebimbangan apabila golongan berumur 30 tahun ke bawah menyumbang kira-kira 40 peratus daripada semua transaksi BNPL di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata meskipun BNPL hanya menyumbang sebahagian kecil daripada hutang isi rumah, penggunaanya yang pesat, termasuk bagi barangan keperluan harian, mencerminkan cabaran pendapatan yang lebih mendalam dan wajar diberi perhatian.

“Pertama, kita perlu menguruskan risiko yang ditimbulkan oleh penyedia kredit yang tidak dikawal selia, kerana penyedia BNPL, syarikat kutipan hutang dan pengendali lain di luar sistem kewangan tradisional tidak dilindungi di bawah undang-undang sedia ada. Ini menimbulkan risiko seperti terma yang tidak adil, yuran tersembunyi dan pengutipan hutang secara agresif.

“Kedua, pemantauan industri kredit kini tersebar di pelbagai kementerian dan agensi, masing-masing beroperasi mengikut mandat dan piawaian sendiri. Kepelbagaian ini meningkatkan risiko penguatkuasaan yang tidak konsisten dan membuka ruang kepada tingkah laku tidak bertanggungjawab,” katanya pada majlis “Navigating Malaysia’s New Credit Landscape” hari ini.

Liew berkata kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan pelbagai langkah bagi membendung isi rumah daripada terjerumus ke dalam hutang berlebihan serta memastikan layanan yang adil terhadap peminjam. Namun, risiko baharu telah mendorong keperluan pengenalan Akta Kredit Pengguna 2025 (CCA).

“Ini adalah pencapaian penting dalam landskap kredit Malaysia kerana akta ini memperkenalkan pendekatan yang lebih terkoordinasi dan konsisten dalam mengawal kredit pengguna, melengkapkan undang-undang sedia ada dan menampung jurang penting,” katanya.

Akta Kredit Pengguna 2025 yang diluluskan Parlimen pada 2025, telah diwartakan pada 31 Disember, 2025 dan berkuat kuasa mulai 1 Mac, 2026.

Dalam pada itu, Liew berkata satu daripada komponen utama akta tersebut ialah penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang akan mengawal enam sektor yang kini tidak dikawal selia, termasuk penyedia BNPL, syarikat penyewaan dan ‘factoring’, agensi kutipan hutang, pembeli pinjaman bermasalah serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang.

“Menerusi akta ini, satu jawatankuasa penasihat ditubuhkan bagi mempertingkatkan koordinasi antara kementerian dan agensi serta memastikan penguatkuasaan yang konsisten,” katanya.

Beliau menegaskan langkah pembaharuan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan hasil lebih adil kepada pengguna serta persaingan saksama dalam kalangan pengendali industri.

“Pindaan terkini Akta Sewa Beli (HPA) 2025, yang menghapuskan kaedah pengiraan faedah lama kepada kaedah lebih telus, turut menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam hal ini,” katanya.

Pada masa sama, Liew mengingatkan bahawa proses pemberian lesen kepada penyedia kredit dan pendaftaran penyedia perkhidmatan kredit akan bermula 1 Jun, 2026, dengan tempoh peralihan enam bulan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

“SKP mula beroperasi pada 1 Mac 2026 dan kini menumpukan kepada penerbitan piawaian untuk kebenaran dan peraturan tingkah laku, serta memastikan proses pemberian lesen dan pendaftaran berjalan lancar,” katanya.

Selain itu, Liew berkata agensi pelaporan kredit (CRA) memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem kredit Malaysia dengan menyediakan data dan maklumat kredit yang boleh dipercayai, membantu pemberi pinjaman membuat keputusan lebih tepat, selain membolehkan pengguna memahami dan mengurus kesihatan kewangan mereka.

“Meskipun Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) kekal sebagai sumber utama maklumat kredit berkaitan perbankan, agensi pelaporan kredit berpotensi memperluas akses kepada data kredit bukan bank, sekali gus membantu mengurangkan jurang maklumat dan mencegah hutang berlebihan.

“Justeru itu, saya menggalakkan CRA untuk terus berinovasi, mengguna pakai teknologi baharu, dan memperkukuh kualiti data, keselamatan siber serta saling kebolehoperasian di seluruh ekosistem,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: PM Anwar kunjungi Kuching dalam lawatan rasmi esok
Next: Gempa bumi 5.3 magnitud landa Taiwan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.