Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • LPKP Sarawak gesa MPP proaktif tangani masalah pengangkutan, infrastruktur
  • TEMPATAN

LPKP Sarawak gesa MPP proaktif tangani masalah pengangkutan, infrastruktur

Utusan Sarawak 8 hours ago
MESYUARAT antara Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian, dan Pengerusi MPP, Tan Kai membincangkan isu pengangkutan dan infrastruktur.

KUCHING: Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan(LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian, berkata pihaknya mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai petang tadi.

Kunjungan berkenaan bertujuan bertukar pandangan mengenai beberapa isu yang memberi kesan kepada orang ramai, khususnya berkaitan pengangkutan dan infrastruktur tempatan dalam kawasan di bawah pentadbiran MPP.

Menurut Michael Kong, pertemuan itu turut menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu yang sering dibangkitkan oleh orang awam.

Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah masalah kenderaan membawa muatan berlebihan, khususnya kenderaan berat yang melalui kawasan perumahan. Beliau menekankan keperluan pihak berkuasa tempatan memasang papan tanda had berat yang jelas di lokasi yang sesuai dalam kawasan perumahan.

“Papan tanda had berat penting kerana ia membolehkan agensi penguatkuasaan berkaitan, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku pelanggaran,” katanya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur di kawasan perumahan. Beliau menjelaskan bahawa penguatkuasaan di kawasan perumahan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, memandangkan kuasa JPJ di kawasan tersebut adalah terhad.

Sehubungan itu, beliau menggesa MPP mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani masalah berkenaan yang terus menimbulkan kesulitan serta kebimbangan dari segi keselamatan penduduk.

Isu muatan lori yang tertumpah di jalan raya semasa proses pengangkutan juga dibincangkan berikutan banyak aduan diterima daripada orang ramai. Beliau menjelaskan bahawa peranan LPKP Sarawak terhad kepada memastikan lori menutup bahagian muatan dengan sempurna semasa pengangkutan.

“Namun sekiranya berlaku tumpahan muatan di jalan awam, tanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap pengendali tapak atau pihak yang bertanggungjawab terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan,” katanya sambil menggalakkan MPP memperkukuh penguatkuasaan dalam perkara tersebut.

Beliau turut menekankan kepentingan menaik taraf kemudahan hentian bas dan laluan pejalan kaki bagi menyokong inisiatif pengangkutan awam, khususnya program Bas.My Kuching.

“Walaupun LPKP Sarawak sedang meneliti kemungkinan menyesuaikan beberapa laluan bas bagi meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai, kemudahan infrastruktur yang mencukupi dan selamat juga amat penting untuk menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa MPP mempertimbangkan untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan tersebut di lokasi yang memerlukan. Sekiranya MPP menghadapi kekangan kewangan, pihak majlis boleh memberi kebenaran kepada LPKP Sarawak untuk melaksanakan penambahbaikan sama ada melalui perolehan dana atau meneroka inisiatif kerjasama sektor awam dan swasta.

Beliau menegaskan bahawa LPKP Sarawak berharap kerjasama dengan MPP akan terus diperkukuh bagi menangani isu berkaitan serta menambah baik keadaan pengangkutan dan infrastruktur awam demi manfaat masyarakat.

Oleh Connie Chieng

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Polis Bintulu galak orang ramai guna aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ salur maklumat
Next: MPKS beri tempoh penjaja roboh struktur binaan kekal di laluan pejalan kaki Desa Ilmu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.