
BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai medium menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, aplikasi tersebut membolehkan orang awam menyalurkan maklumat atau membuat aduan dengan lebih cepat bagi membantu pihak polis mengambil tindakan segera.
“Penggunaan aplikasi VSP membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan keselamatan secara terus kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa melakukan tinjauan di Bazar Ramadan di hadapan sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, penglibatan masyarakat melalui penggunaan aplikasi tersebut turut membantu memperkukuh kerjasama antara polis dan komuniti dalam usaha pencegahan jenayah.
“Selain itu, kehadiran anggota polis di kawasan tumpuan orang ramai dilaksanakan melalui konsep omnipresence bagi mencegah berlakunya sebarang aktiviti jenayah,” jelasnya.
Nixon berkata, anggota polis yang bertugas juga melaksanakan pendekatan interaksi secara langsung dengan pengunjung serta peniaga bazar bagi menyampaikan nasihat pencegahan jenayah.
Katanya, langkah tersebut turut membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“Pada masa sama, anggota polis turut memantau situasi keselamatan di kawasan bazar serta mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil,” ujar beliau.
Oleh Carolyne Utih