
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk agensi pelaksana untuk turun padang secara berterusan bagi memantau pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Beliau berkata pendekatan pemantauan secara langsung amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat setempat.
Menurutnya, penglibatan semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, jabatan kerajaan serta kontraktor yang dilantik perlu diperkukuhkan agar setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi telah hadir mewakili Mohamad Duri ke program penyerahan tapak projek oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) kepada pihak kontraktor yang dilantik, semalam.

Projek di bawah BDDA tersebut melibatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur saliran serta kerja-kerja berkaitan di Skim Saliran Pagan dan Skim Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Sungai Rembus, Saratok.
Sebelum penyerahan tapak projek dilaksanakan, satu sesi dialog ringkas telah diadakan antara pihak kontraktor dan pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong bagi membincangkan pelaksanaan projek tersebut.
Sesi tersebut turut memberi ruang kepada pihak terlibat untuk mendapatkan penjelasan berkaitan skop kerja, tempoh pelaksanaan serta langkah-langkah bagi memastikan projek berjalan dengan lancar.
Selepas sesi dialog, rombongan yang hadir turut mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kawasan yang akan dinaik taraf termasuk sistem saliran yang menjadi fokus utama projek berkenaan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Saratok, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong serta Ketua Kaum kawasan berkenaan, Sajali Ali Hassan.
Mohamad Duri berharap kerjasama berterusan antara agensi pelaksana, kontraktor serta pemimpin masyarakat akan memastikan projek pembangunan di kawasan DUN Kalaka dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat setempat.
Oleh Adi Safarman