Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Violet Yong hargai sumbangan pemandu perkhidmatan penghantaran wanita sempena Hari Wanita Antarabangsa
  • TEMPATAN

Violet Yong hargai sumbangan pemandu perkhidmatan penghantaran wanita sempena Hari Wanita Antarabangsa

Utusan Sarawak 6 hours ago
ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui merakamkan gambar kenangan pada majlis sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang dianjurkan oleh Grab Holdings, semalam.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui, memuji dedikasi serta ketabahan pemandu perkhidmatan penghantaran wanita yang disifatkan memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti terus berhubung selain menyumbang kepada ekonomi negara.

Berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang dianjurkan oleh Grab Holdings di sini semalam, beliau berkata wanita yang terlibat dalam sektor berkenaan bukan sekadar pemandu atau penghantar, malah turut memainkan pelbagai peranan dalam masyarakat.

“Mereka bukan sekadar membawa penumpang atau membuat penghantaran setiap hari, tetapi juga memikul tanggungjawab kepada keluarga serta tekad untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Menurut Yong, platform digital seperti Grab membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam ekonomi, sekali gus membuktikan bahawa wanita juga mampu bekerja dalam sektor pengangkutan dan penghantaran.

“Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini dengan tema ‘Give to Gain’, ia mengingatkan kita bahawa apabila wanita diberikan sokongan yang sewajarnya, seluruh masyarakat turut mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata penyediaan persekitaran yang selamat serta infrastruktur yang sesuai membolehkan wanita menyumbang sepenuhnya kepada ekonomi sambil menyara keluarga dan menyumbang kepada masyarakat.

“Seorang wanita yang berasa selamat akan bekerja dengan yakin, menyokong keluarganya dan memberi sumbangan bermakna kepada komuniti. Oleh itu, keselamatan bukan sekadar isu peribadi, tetapi juga keutamaan ekonomi dan sosial,” katanya.

Yong turut mengakui cabaran yang sering dihadapi pemandu wanita, khususnya ketika memandu pada waktu malam atau berdepan dengan lokasi pengambilan penumpang yang tidak dikenali.

“Ketabahan anda dalam menghadapi cabaran ini amat mengagumkan. Namun ketabahan sahaja tidak seharusnya menjadi harapan yang diletakkan kepada wanita. Pemerkasaan sebenar berlaku apabila wanita dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan usaha Grab memperkenalkan ciri keselamatan serta inovasi teknologi dalam platformnya bagi meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang.

Menurut Yong, apabila wanita berasa selamat dan yakin untuk bekerja, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga mereka malah mengukuhkan ekonomi secara keseluruhan.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan merakamkan penghargaan kepada semua pemandu wanita atas dedikasi mereka dalam memastikan komuniti terus bergerak maju setiap hari.

Oleh Connie Chieng

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: MBKS kenal pasti isu jalan rosak, sistem perparitan di Lorong Sungai Apong
Next: Dayang Norjihan serikan program bubur lambuk di Pusat Kebajikan Petra Jaya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.