Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Lebih sedekad Kampung Ribu pertahan tradisi panjut gergasi malam tujuh likur
  • RENCANA

Lebih sedekad Kampung Ribu pertahan tradisi panjut gergasi malam tujuh likur

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENGERUSI Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu Amiruddin Mohd Lazim (dua, kiri) bersama ahli persatuan bergotong-royong menyiapkan struktur panjut gergasi ketika tinjauan Bernama di Kampung Ribu baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Usai solat tarawih, sebuah kawasan lapang di Kampung Ribu di sini akan ‘riuh’ dengan bunyi tukul dan geseran gergaji serta gelak tawa penduduk, bagaikan ada pesta.

Namun, bukan pesta hiburan yang berlangsung, sebaliknya ahli Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu itu sedang membina struktur panjut gergasi yang akan dinyalakan menjelang tiga hari terakhir Ramadan dan menjadi kebanggaan komuniti setempat sejak lebih sedekad lalu. 

“Panjut ini bukan hanya meraikan malam tujuh likur tetapi satu perjuangan untuk memastikan budaya warisan Melayu terus hidup.

“Sejak awal itulah objektif kita. Jika  tiada siapa yang mahu mengelolakan, maka sudah pasti kelak warisan ini akan hilang dari lipatan sejarah, dan generasi masa depan mungkin tidak dapat melalui pengalaman ini,” kata Pengerusi persatuan Amiruddin Mohd Lazim ketika ditemui Bernama di tapak panjut gergasi tersebut baru-baru ini.

SETIAUSAHA Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu Ahmad Ridzuan Kamaruddin, 45, menyiapkan struktur panjut gergasi ketika tinjauan Bernama di Kampung Ribu baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata gerakan menghidupkan semula tradisi panjut itu bermula pada 2014, namun persatuan berkenaan yang setakat ini mempunyai kira-kira 90 orang ahli, hanya didaftarkan secara rasmi pada 2019.

HASIL SEMAKAN SEJARAH

Berkongsi lanjut, Amiruddin berkata hasil semakan sejarah, mereka mendapati budaya menyalakan panjut secara besar-besaran di Padang Rengas pernah dilaporkan akhbar sekitar 1963 dan 1964.

“Dalam laporan lama itu, panjut dipasang dengan imej dan logo parti politik kerana kebetulan musim pilihan raya bertembung dengan Ramadan dan hari raya. Walaupun bermula begitu, budaya memasang panjut ini akhirnya berkembang menjadi satu tradisi komuniti hingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, pemasangan panjut di Parlimen Padang Rengas pernah mencapai kemuncak pada 1992 hingga 1993  apabila laluan dari Kampung Jamuan hingga pekan Kuala Kangsar dihiasi panjut oleh komuniti setempat.

Namun tradisi itu kemudiannya terhenti sebelum dihidupkan semula melalui pertandingan yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas ketika itu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sekitar 2014 dan 2015.

“Kampung Ribu mula menyertai pertandingan pada 2016 dan 2017, dan berjaya muncul juara dalam kategori yang dipertandingkan pada kedua-dua tahun berkenaan. Kemenangan itu memberi semangat kepada kami untuk teruskan bina panjut walaupun pertandingan tidak lagi dianjurkan,” katanya.

PENGERUSI Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu Amiruddin Mohd Lazim (dua, kiri) bersama ahli-ahli persatuan memeriksa panjut yang akan dipasang pada panjut gergasi ketika tinjauan Bernama di Kampung Ribu baru-baru ini. Foto BERNAMA

KEKAL KAEDAH TRADISIONAL

Amiruddin berkata biarpun teknologi pencahayaan moden semakin meluas, komuniti Kampung Ribu tetap kekal dengan kaedah tradisional dengan struktur panjut masih berasaskan buluh, kayu dan pelita minyak tanah.  

Sementara itu, Setiausaha persatuan Ahmad Ridzuan Kamaruddin berkata proses pembinaan panjut bukan kerja mudah dan biasanya bermula kira-kira dua bulan sebelum Ramadan termasuk usaha mengumpul dana.

“Biasanya kita ambil buluh sebelum puasa kerana kerja menebang dan mengangkut buluh agak berat, ” katanya, menambah mereka memerlukan kira-kira 130 hingga 150 batang buluh untuk pembinaan struktur panjut yang dihasil menggunakan perisian AutoCAD.

AHLI-ahli Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu melakukan kerja-kerja menyiapkan struktur panjut gergasi. Foto BERNAMA

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan mengambil masa antara 14 hingga 20 hari dan panjut akan dinyalakan bermula malam 27 Ramadan hingga sehari sebelum malam raya. 

Mengulas panjut tahun ini, Ahmad Ridzuan berkata mereka mengulangi reka bentuk Masjid Selat Melaka yang pernah dibina pada 2021 dengan struktur panjut itu dijangka setinggi sembilan meter dan selebar 15 meter selain menggunakan 1,200 hingga 1,400  biji pelita bagi memenuhi kawasan tapak.

Beliau berkata tradisi panjut Kampung Ribu kini bukan lagi sekadar aktiviti kampung, sebaliknya turut mendapat perhatian pihak korporat dan swasta menerusi tawaran kerjasama, selain menarik kunjungan ribuan pelawat dari seluruh negara yang datang menyaksikan panjut tersebut.  – Bernama

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Permintaan ketupat daun buluh meningkat sepanjang Ramadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.