Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Permintaan ketupat daun buluh meningkat sepanjang Ramadan
  • RENCANA

Permintaan ketupat daun buluh meningkat sepanjang Ramadan

Utusan Sarawak 6 hours ago
KETUPAT daun buluh yang juga dikenali sebagai ketupat gajah itu memberikan bauan wangi yang unik, membezakannya daripada ketupat palas atau ketupat nasi yang biasa ditemui di pasaran. Foto BERNAMA

PENDANG: Permintaan terhadap ketupat daun buluh, hidangan tradisi yang sering dikaitkan dengan warisan masyarakat Siam dan Cina di Kedah, meningkat sepanjang Ramadan ini, dengan tempahan mencecah kira-kira 16,000 biji atau 1,000 kilogram (kg).

Pengusaha ketupat daun buluh, Sarah Hussain, 43, dari Kampung Bukit Murai di sini berkata dia mula mengusahakan makanan tradisional itu sejak 2017 selepas mewarisi resipi dan cara pembuatannya daripada ibu serta kakaknya.

PROSES membuat ketupat daun buluh. Foto BERNAMA

Beliau berkata pada peringkat awal, ibunya hanya menyediakan ketupat daun buluh untuk hidangan keluarga pada musim perayaan sebelum beliau mula mempromosikannya dalam media sosial dan menerima tempahan daripada orang ramai.

“Pada mulanya saya sendiri tidak tahu membuat ketupat ini, tetapi saya belajar sedikit demi sedikit daripada ibu dan kakak sehingga mahir. Selepas saya kongsi gambar dalam media sosial, ramai yang mula bertanya dan membuat tempahan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

PENGUSAHA ketupat daun buluh, Sarah Hussain membilas daun buluh sebelum digunakan untuk membalut ketupat. Foto BERNAMA

Sarah berkata ketupat daun buluh yang sinonim dengan masyarakat Siam dan Cina itu diolah semula olehnya menjadi versi halal yang sesuai dengan selera masyarakat Melayu.

Walaupun bahan yang digunakan agak ringkas, iaitu daun buluh, beras pulut susu, dan air abu, proses pembuatannya memerlukan ketelitian serta mengambil masa yang lama.

“Daun buluh perlu dicari terlebih dahulu dan biasanya saya beli daripada penduduk kampung. Selepas dibersihkan dan disejat, beras pulut akan dibasuh sebelum digaul dengan air abu dan dibalut menggunakan daun buluh,” katanya.

SIAP dibungkus, ketupat daun buluh diikat pada batang buluh. Foto BERNAMA

Ketupat yang siap dibalut akan direbus selama tujuh hingga lapan jam sebelum disejat dan disejuk beku bagi mengekalkan kualitinya.

Kaedah penyimpanan sejuk beku membolehkan ketupat daun buluh tahan antara enam hingga 12 bulan, sekali gus memudahkannya menyediakan stok lebih awal bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

Sarah berkata ketupat daun buluh yang juga dikenali sebagai ketupat gajah mempunyai aroma wangi yang unik serta tekstur kenyal, selain berbeza daripada ketupat palas atau ketupat nasi kerana tidak menggunakan santan.

Ketupat itu sesuai dimakan bersama pelbagai jenis serunding selain boleh dinikmati dengan susu pekat, gula Melaka atau coklat, dan dijual pada harga RM28 sekilogram, manakala tempahan dari luar Kedah turut diterima melalui perkhidmatan kurier ekspres dengan tarikh akhir tempahan seminggu sebelum Aidilfitri. – Bernama

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Ketupat palas hidangan utama menjelang Aidilfitri
Next: Lebih sedekad Kampung Ribu pertahan tradisi panjut gergasi malam tujuh likur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.