
SIMANGGANG: Umat Islam digesa tidak mensia-siakan kehadiran Ramadan dan perlu melihat bulan suci ini sebagai sebuah ‘madrasah’ atau sekolah kerohanian terbaik dalam membentuk peribadi yang lebih unggul.
Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Kamarulzaman Kawi menegaskan, inilah masa paling tepat untuk mendidik jiwa agar lebih prihatin terhadap tanggungjawab agama serta kebajikan sosial.
Beliau menyifatkan pengisian ilmu berkaitan pengurusan harta syariah merangkumi zakat, infaq, dan wakaf sebagai ramuan utama dalam melahirkan Muslim bertaqwa.
”Ramadan bukan sekadar bulan ibadah ritual. Ia adalah madrasah yang mendidik kita memahami erti pengorbanan dan tanggungjawab menerusi amalan nyata,” katanya.
Kenyataan tegas tersebut disampaikan beliau sewaktu Program Perkongsian Ilmu yang berlangsung di Masjid Lama Kampung Tengah, di sini semalam.
Menurut beliau, setiap amalan kebajikan haruslah berlandaskan ilmu yang tepat, terutama dalam memahami hukum-hakam kritikal seperti fidyah dan kepentingan berinfaq.
Program strategik ini merupakan kolaborasi mantap antara Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman bersama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Para peserta tidak sekadar mendengar, malah didedahkan secara menyeluruh tentang selok-belok zakat serta kaedah pembayaran fidyah bagi mereka yang mempunyai kekangan mengganti puasa.
Simbolik kepada semangat ‘madrasah’ ini, majlis turut menyaksikan penyerahan al-Quran Mushaf Wakaf kepada pihak masjid bagi terus menyemarakkan budaya wakaf di peringkat akar umbi.
Kerjasama erat antara JAIS dan pelbagai agensi ini membuktikan komitmen serius kerajaan dalam memastikan literasi pengurusan harta syariah sampai ke hati masyarakat.
Oleh Adi Safarman