Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • BESarawak perkukuh kerjasama industri, jana impak ekonomi RM483.5 juta
  • Tengah
  • WILAYAH

BESarawak perkukuh kerjasama industri, jana impak ekonomi RM483.5 juta

Utusan Sarawak 5 hours ago
UNTUK KENANGAN….Tan (tiga kiri), Dr Renco (empat kiri) merakam kenangan bersama para jemputan pada Majlis Berbuka Puasa BESarawak ‘Satu Meja, Seribu Cerita’ di salah sebuah hotel terkemuka, semalam.

SIBU: Business Events Sarawak (BESarawak) terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan industri dalam usaha memacu perkembangan sektor acara perniagaan di Sarawak serta mewujudkan impak ekonomi dan legasi yang berkekalan.

Pengerusinya, Jason Tan Chin Foo berkata, kerjasama erat dengan rakan industri telah membantu Sarawak memperolehi sebanyak 160 acara perniagaan pada tahun lalu yang menjana impak ekonomi berjumlah RM483.5 juta.

“Kejayaan tersebut bukan sahaja diukur melalui nilai ekonomi yang dijana, malah turut melibatkan impak jangka panjang seperti pemindahan pengetahuan kepada komuniti tempatan, pengukuhan industri negara serta pembangunan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa BESarawak ‘Satu Meja, Seribu Cerita’ di salah sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.

Tan berkata, bagi memastikan industri tersebut terus berkembang, BESarawak akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu transformasi dan inovasi, impak dan legasi serta perkongsian dan pembangunan modal insan.

“Melalui pendekatan ini, penganjur acara akan menikmati pengalaman yang lebih baik dengan sokongan data yang lebih kukuh, bantuan strategi bidaan serta pengalaman delegasi yang dipertingkatkan bagi memastikan kejayaan setiap acara yang dianjurkan,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, katanya, inisiatif Impak Legasi turut diperkenalkan bagi memastikan setiap acara memberi manfaat yang lebih luas termasuk pertukaran ilmu, pembangunan industri, penglibatan komuniti serta impak kelestarian.

Beliau memberitahu, tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan BESarawak, sekali gus menyaksikan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan bagi memperkasa penganjuran acara di negeri ini.

“Antaranya termasuk Program Mobiliti Akademik yang melibatkan lawatan pembelajaran serta lawatan teknikal yang diterajui oleh universiti di Sarawak bagi mengukuhkan hubungan antara institusi akademik, industri dan keutamaan pembangunan tempatan.

“Selain itu, pakej baharu Dana Acara Perniagaan Sarawak turut diperkenalkan yang menawarkan insentif berperingkat bagi kumpulan antara 25 hingga 149 delegasi dengan pembiayaan antara RM7,000 hingga RM40,000,” ujarnya lagi.

Tan berkata, pihaknya juga telah menambah baik sokongan pembiayaan dengan memasukkan lebih banyak komponen sokongan bagi memudahkan penganjuran acara berskala kecil.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama yang terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada Sarawak sebagai destinasi penganjuran acara perniagaan.

“Kami berharap kerjasama ini akan terus diperkukuh bagi memacu impak yang lebih besar serta mewujudkan legasi yang berkekalan untuk Sarawak dan Malaysia,” katanya lagi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Acara Perniagaan Sibu (SBEC), Dr Renco Yong.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Projek pemuliharaan sungai di Meradong dilaksana bagi tingkat sistem saliran
Next: JKR laksana kerja pemulihan susulan tanah runtuh, laluan dijangka dibuka Sabtu ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.