
BINTANGOR: Keadaan cemas tercetus di sebuah hotel di sini hari ini apabila asap yang memenuhi ruang bangunan disangka kebakaran, sebelum disahkan berpunca daripada aktiviti pengasapan nyamuk (fogging) di kawasan sekitar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 7.16 pagi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Bakar Ujang bersama lima anggota bomba bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, dapati terdapat asap berada di dalam ruang bangunan hotel tersebut,” katanya.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati asap tersebut berpunca daripada aktiviti pengasapan nyamuk yang dijalankan di kawasan sekitar luar bangunan dan memasuki ruang dalam premis sehingga menyebabkan alat pengesan asap berbunyi.
“Tiada sebarang operasi pemadaman dijalankan memandangkan kejadian ini bukan berpunca daripada kebakaran sebenar.
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di kawasan hotel tersebut bagi memastikan tiada sebarang risiko kebakaran berlaku.
“Pemantauan di lokasi tamat sepenuhnya pada 7.30 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek