
CHUKAI: Meskipun pelbagai juadah dan biskut moden semakin menghiasi meja makan, ketupat palas tetap menjadi hidangan utama setiap kali tibanya Aidilfitri.
Aroma pulut yang dimasak bersama santan dan dibalut rapi dengan daun palas menimbulkan nostalgia suasana hari raya yang diraikan bersama keluarga tersayang.
Permintaan tinggi terhadap menu tradisional itu membuatkan pengusaha ketupat palas tidak menang tangan menerima tempahan yang banyak saban tahun.

Seorang pengusaha ketupat palas Teh Mamat, 61, dari Kampung Gong Pauh di sini terpaksa menutup tempahan lebih awal daripada pelanggan kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya mengikut jadual.
“Pada tahun ini saya hanya mengambil tempahan sebanyak 12,000 biji sahaja, walaupun jumlah permintaan sebenarnya boleh mencecah 18,000 biji,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pauh, di sini hari ini.
KEKALKAN KUALITI
Teh berkata langkah itu juga diambil bagi memastikan setiap ketupat dapat disiapkan dengan sempurna dan mengekalkan kualiti bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan hasil air tangannya.

Warga emas yang mengusahakan ketupat palas sejak 30 tahun lepas itu mampu menyiapkan 1,000 ketupat sehari dengan dibantu anaknya Aznida Awang Kechik, 43.
“Saya akan memulakan proses membuat ketupat palas pada 7 pagi dengan merendam sekurang-kurangnya 20 kilogram (kg) beras pulut untuk 1,000 biji ketupat dan kemudian dikukus secara berperingkat.
“Ketika memproses ketupat palas saya perlu mengadun pulut bersama santan dan ia agak memenatkan kerana perlu dikacau menggunakan senduk kayu supaya adunan menjadi sebati bagi mengekalkan rasa lemak ketupat berkenaan,” katanya.

Dia berkata ketupat palas yang dihasilkannya mampu bertahan hingga setahun jika disimpan dengan cara yang betul.
BEKALAN DAUN PALAS
Dalam pada itu, Teh berkata dia mendapatkan bekalan daun palas daripada peniaga di Pasar Chukai di sini yang dijual RM40 untuk 100 helai.
Teh yang mempunyai lapan cahaya mata dan empat cucu itu berkata setakat ini beliau telah menyiapkan 7,000 biji ketupat dan telah disimpan di dalam peti sejuk beku bagi mengekalkan kesegarannya sebelum diagihkan kepada pelanggan menjelang hari raya.

“Saya menjual ketupat palas pada harga RM90 bagi setiap 100 biji dan harga itu dianggap masih berpatutan di pasaran,” katanya.
Walaupun berdepan kenaikan harga barangan Teh tetap mengekalkan harga ketupat palas kerana tidak mahu membebankan pelanggan yang kebanyakannya adalah pelanggan tetap sejak bertahun-tahun.
– Bernama