
MIRI: Sebanyak 23 barangan keperluan asas di daerah Miri dan Marudi diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri 2026 yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini.
Skim yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bertujuan memastikan harga barangan kekal terkawal serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga melampau menjelang musim perayaan.
KPDN Cawangan Miri menerusi satu kenyataan memberitahu antara barangan yang ditetapkan harga maksimum di peringkat runcit ialah daging lembu import RM36.50 sekilogram, kepak ayam RM14.50 sekilogram, ikan kembung RM11 sekilogram dan ikan selayang RM9 sekilogram.
“Selain itu, sayur-sayuran seperti kubis bulat import ditetapkan RM4 sekilogram, sawi hijau RM9.50 sekilogram, timun RM4.50 sekilogram dan tomato RM7 sekilogram, manakala cili merah pula RM17 sekilogram.
“Turut dikawal ialah beberapa bahan dapur seperti bawang kuning besar dan bawang merah besar masing-masing RM4 sekilogram, bawang merah kecil India RM7 sekilogram, bawang putih (China) RM8.50 sekilogram serta ubi kentang import RM3.50 sekilogram,” menurut kenyataan itu.
Bahan lain yang turut tersenarai ialah halia tua import RM9.50 sekilogram, kacang tanah RM8.50 sekilogram, cili kering kerinting RM18.80 sekilogram, kacang dal RM5 sekilogram, kelapa parut RM8 sekilogram dan santan kelapa RM11 sekilogram.
Di bawah pelaksanaan skim itu, peniaga diwajibkan tidak menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan serta perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
KPDN turut memberi amaran tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut.
Oleh Liong Chai Ling