KUCHING: Bengkel Pentadbiran Kontrak ke arah Kecemerlangan Penyampaian Projek untuk projek kerajaan Sarawak adalah satu inisiatif yang baik dilaksanakan oleh Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Sarawak (MIPD) dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) di dalam mengenalpasti masalah dan cabaran dalam setiap peringkat sebelum dan semasa pelaksanaan projek.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Sarawak, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, bengkel yang diadakan itu adalah untuk memudahkan agensi kerajaan dalam mengenal pasti kekurangan dan penambahbaikan yang diperlukan untuk proses semasa untuk pengurusan kontrak di jabatan masing-masing.
“Proses semasa di jabatan mungkin paling sesuai dengan pekerjaan sekarang, namun kita harus ada ruang untuk meningkatkan prestasi jabatan dengan berkongsi idea dengan agensi lain untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penyampaian projek.
“Jangan membatasi diri dengan proses yang sukar atau bersikap defensif. Berfikiran terbuka untuk menerima maklum balas dari peserta lain dan mencadangkan inisiatif untuk memaksimumkan penyampaian projek yang sihat dan sambil itu menurunkan peratusan agar dapat mengurangkan projek tertangguh,” katanya.
James Jemut Masing berkata, satu pasukan petugas khas telah diwujudkan yang telah berkuatkuasa pada 27 Julai 2020 untuk Setiausaha Tetap memantau program pembangunan dan pelaksanaan projek oleh kerajaan dalam bahagian masing-masing.
“Dengan adanya penubuhan pasukan khas ini, kita akan bersama-sama dengan beberapa agensi untuk mengurangkan punca dan mengurangkan kelewatan pelaksanaan projek.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya pada Julai lepas telah membahas panjang lebar mengenai kelewatan pelaksanaan projek untuk beberapa projek pembangunan.
“Antara penyebab kepada kelewatan boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti kontraktor yang telah diamanahkan dengan projek tersebut tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek mengikut jadual, mengakibatkan sub-kontrak kepada pihak lain yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pentadbiran Kontrak ke arah kecemerlangan penyampaian projek untuk kerajaan Sarawak di UCSI Hotel, semalam.
Oleh hal demikian, prestasi kontraktor harus dipantau dengan teliti dan masalah kontraktor yang berprestasi rendah harus ditangani dengan segera.
“Bagi mereka yang telah diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek tersebut perlu mengambil serius dengan projek tersebut kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.
“Sekiranya terdapat kegagalan dalam pelaksanaan projek, ia dianggap kegagalan kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat dengan baik,” katanya.
Beliau mengulas lanjut lanjut, sebanyak RM2.94 bilion di peruntukkan untuk tempoh dari 2015 hingga 2020 untuk melaksanakan 12,729 projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di negeri ini.
“Setakat 17 September 2020, daripada 12,729 projek, 8948 projek atau 70.3 peratus telah selesai.
“Sementara baki 3,781 projek atau 29.7 peratus berada dalam status pelbagai peringkat pelaksanaan,” jelasnya.
Terdahulu seramai 120 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, pejabat residen dan sektor swasta terlibat dalam bengkel yang dianjurkan oleh Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Sarawak (MIPD) dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS).
Turut hadir pada bengkel tersebut adalah Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Tetap, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Safri Zainudin dan Setiausaha Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.
Oleh Jeakqleyn Yacho