Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pelaksanaan APEL kukuhkan pengiktirafan pengalaman kerja di Sarawak
  • PENDIDIKAN

Pelaksanaan APEL kukuhkan pengiktirafan pengalaman kerja di Sarawak

Utusan Sarawak 9 hours ago
SIMBOLIK… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyempurnakan simbolik Pelancaran CPUCE serta laluan APEL anjuran Universiti UCSI dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak di Kuching.

KUCHING: Pelaksanaan laluan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat di Sarawak dengan mengiktiraf pengalaman kerja sebagai sebahagian daripada kelayakan akademik.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, pendekatan tersebut mencerminkan perubahan penting dalam cara pendidikan dan kemahiran dinilai, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan pekerja untuk melanjutkan pengajian.

“Selama ini kelayakan akademik dan pengalaman industri sering dilihat sebagai dua laluan berbeza walaupun kedua-duanya memainkan peranan penting dalam pembangunan kompetensi seseorang individu.

UCAPAN… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berucap pada majlis pelancaran CPUCE serta laluan APEL anjuran Universiti UCSI dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak di Kuching.

“APEL mencabar pemisahan ini dengan mengiktiraf bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku di bilik kuliah tetapi juga di tempat kerja, komuniti dan melalui pengalaman praktikal bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Pusat PraUniversiti dan Pendidikan Berterusan (CPUCE) serta laluan APEL di sebuah majlis anjuran Universiti UCSI dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak di sini hari ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut amat relevan ketika Sarawak sedang bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan dipacu inovasi yang memerlukan tenaga kerja lebih tangkas serta berkemahiran tinggi.

“Kerajaan Sarawak sentiasa menekankan pembangunan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

“Sama ada dalam transformasi digital, ekonomi hijau, industri maju atau sektor perkhidmatan, rakyat kita perlu mempunyai laluan pendidikan yang lebih fleksibel dan mudah diakses,” jelasnya.

RAKAM KENANGAN… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bersama yang lain bergambar kenangan selepas majlis pelancaran CPUCE serta laluan APEL.

Roland turut menegaskan bahawa APEL mampu merapatkan jurang antara pengalaman industri dan kelayakan akademik, sekali gus memberi peluang kepada pekerja berpengalaman untuk menukar kepakaran mereka kepada pengiktirafan akademik rasmi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara Universiti UCSI dan UNIMAS dalam pelaksanaan APEL.A turut mencerminkan model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Pendekatan kolaboratif tersebut mampu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi Sarawak dengan mengoptimumkan sumber, mengelakkan pertindihan serta memperluas akses kepada pendidikan tinggi.

“Selain itu, penubuhan CPUCE juga bertujuan memastikan program pendidikan profesional dan berterusan lebih selari dengan keperluan industri serta keutamaan ekonomi negeri.

“Sehubungan itu, saya menggalakkan rakan industri supaya turut menyokong pelaksanaan APEL dalam organisasi masing-masing bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran serta kemajuan kerjaya,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Roland turut menyempurnakan Pelancaran CPUCE serta laluan APEL.C dan APEL.A sebagai satu lagi langkah penting dalam memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat di Sarawak.

Oleh Masrin Affirah

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Pelajar tingkatan enam digesa rebut peluang pendidikan tertiari percuma

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.