
KEHADIRAN Brooke di Sarawak tidak semuanya diterima dengan baik oleh masyarakat tempatan. Kewujudan kerajaan Brooke dianggap mengancam status quo masyarakat tempatan dan mengubah corak kehidupan mereka yang telah terbentuk sejak turun-temurun.
Perubahan ini menimbulkan ketidakpuasan, kerana masyarakat tempatan merasakan hak dan autonomi mereka mulai terhakis di bawah pemerintahan asing.
Kebiasaannya, nama besar seperti Rentap, Sharif Masahor, Banting dan Liu Shanbang menjadi simbol ketakutan kerajaan Brooke kerana mereka terkenal sebagai pemimpin tempatan yang berani menentang kuasa asing.
Namun, situasi berbeza berlaku di Lembah Rajang. Lembah ini mula menjadi sebahagian wilayah Sarawak apabila berlaku Krisis Mukah, di mana Raja James Brooke mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara dua pengiran Brunei untuk campur tangan secara strategik.
Dengan memanfaatkan perpecahan dalaman dalam kalangan penguasa Brunei, Raja James Brooke berjaya mendapatkan wilayah ini pada 1861 dengan persetujuan Sultan Brunei.

Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan prestij politik kerajaan Brooke, tetapi juga menambah hasil negeri Sarawak melalui kutipan cukai dan kawalan perdagangan tempatan.
Sibu dijadikan pusat pentadbiran bagi wilayah ini, membolehkan kerajaan Brooke mengawal pentadbiran, cukai, dan hubungan perdagangan dengan lebih berkesan. Walaupun begitu, pengaruh Brooke tidak dapat dirasai secara menyeluruh di kawasan pedalaman, terutamanya di Hulu Rajang.
Rundingan
Kerajaan Brooke menghadapi kesukaran untuk menguasai Rajang sepenuhnya kerana penduduk di Hulu Rajang menolak pemerintahan Brooke.
Malah, mereka sering melakukan kekacauan yang mengganggu kestabilan pentadbiran. Pihak kerajaan terpaksa menangani kes-kes pembunuhan pedagang yang berlaku secara berulang.
Kesukaran ini bertambah kerana pembunuh sering berselindung di kawasan pendukung mereka di Baleh, mendapat perlindungan daripada keluarga dan penyokong mereka.
Residen Houghton yang dilantik di Rajang pada 1880 mengambil inisiatif awal untuk menangani masalah ini dengan memanggil ketua-ketua kaum di Baleh bagi menyelesaikan isu ini melalui rundingan.
Perjumpaan diadakan di Kapit, di mana Residen memberi pilihan kepada ketua-ketua kaum sama ada menyerahkan pembunuh atau berpindah ke kawasan berdekatan Kapit. Sebahagian besar ketua kaum memilih untuk berpindah, membolehkan kerajaan memisahkan pembunuh dari kawasan perlindungan mereka di Baleh.
Walaupun tindakan ini menunjukkan cabaran untuk mendapatkan persetujuan ketua-ketua kaum, langkah tersebut berjaya menjarakkan kawasan perlindungan pihak pembunuh daripada penyokong mereka, sekali gus membuka peluang kepada kerajaan untuk merancang strategi selanjutnya.
Pembunuhan
Namun, usaha awal ini gagal membendung kegiatan pihak lawan yang terus mengganggu aktiviti perdagangan. Hasil daripada persetujuan ini membawa kepada pemindahan pihak yang menentang ke kawasan lebih jauh pedalaman iaitu di Batu Kajang Hills (Bukit Batu).

Untuk melindungi kedudukan mereka, sebuah kubu pertahanan telah dibina di kawasant inggi.
Kerajaan tidak meneruskan usaha menawan mereka secara langsung, sebaliknya memilih strategi menyekat pergerakan pihak lawan dengan membina kubu di muara Sungai Mujong.
Kubu ini bertujuan memutuskan komunikasi dan bekalan makanan kepada pihak lawan, menyekat mereka daripada sumber logistik, dan memberi tekanan kepada kumpulan penentang supaya menyerah.
Lawatan
Kes berlaku di Rajang ini mendapat perhatian Raja Charles Brooke. Beliau mengikuti perkembangan di hulu Sungai Rajang. Malah beliau mengambil inisiatif untuk turun padang melihat dan mendengar keadaan sebenar berlaku di hulu Rajang.
Pada 3 Oktober 1880, beliau bersama Rani berangkat ke Rajang menggunakan kapal Aline, tiba di Sibu. Kehadiran mereka disambut Residen Houghton dan Bampfylde, yang bersama 140 orang Melayu menemani Raja dan Rani ke Kapit.
Rombongan juga disertai sebuah kapal wap kecil, Ghita, dan tiba keesokan harinya pada sebelah petang. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengatur langkah strategik mengekang kegiatan sekumpulan penentang yang mendiami sungai-sungai kecil di Mujong.
Pembinaan Kubu
Semasa lawatan, cadangan pembinaan kubu di muara Sungai Mujong mendapat perhatian serius. Raja Charles Brooke bersama Residen Houghton mengawasi pembinaan kubu tersebut, mengambil masa empat hari untuk memantau proses pembinaannya.
Kubu ini direka untuk membolehkan operasi serangan dilaksanakan terhadap penduduk yang menentang kerajaan. Selain itu, kubu itu menghalang bekalan makanan sampai ke pihak lawan, menjadikan mereka terputus logistik dan terdedah kepada serangan dari pelbagai penjuru.
Pihak lawan dikepung dari kawasan pedalaman oleh orang Kayan, manakala sisi lain dihadapi oleh kaum Ukit yang menggunakan panah beracun. Strategi kerajaan diharapkan memaksa pihak lawan menyerah diri kerana kekurangan makanan dan kesukaran bertahan.
Perancangan
Walaupun pembinaan kubu telah menghalang sebahagian kegiatan lawan, pihak penentang tetap bertahan di kawasan hulu Sungai Mujong, khususnya di Sungai Tiau. Oleh itu, kerajaan merancang ekspedisi berskala besar ke kawasan tersebut.
Perancangan ekspedisi ini dimulakan pada awal Februari 1881, dengan tujuan menumpaskan secara menyeluruh kegiatan pihak lawan dan menegakkan pengaruh Brooke di seluruh Lembah Rajang.
Ekspedisi ini turut menekankan penggunaan taktik pengepungan, kawalan logistik, dan kerjasama dengan ketua-ketua tempatan yang bersetuju dengan kerajaan, bagi memastikan kejayaan operasi dan keamanan jangka panjang di kawasan hulu Sungai Rajang.
Ekspedisi Mujong ini menjadi salah satu contoh bagaimana kerajaan Brooke menggunakan gabungan strategi diplomasi, kawalan ketenteraan, dan perancangan logistik untuk menundukkan kawasan pedalaman yang sukar diurus.
Bekalan senjata menunjukkan kecekapan pentadbiran Brooke tetapi juga menggambarkan cabaran menghadapi masyarakat tempatan yang menentang perubahan dari luar.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.